Fasa 2: Kursus Skil Terapi Berpantang (Tradisi India)

Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program TVET Modular Industri Fasa 2: Kursus Skil Terapi Berpantang (Tradisi India) Berjaya Melahirkan Tenaga Mahir Baharu di Perak

BATU GAJAH, PERAK – 7 Ogos 2026 – Seramai 20 orang peserta berjaya menamatkan Kursus Skil Terapi Berpantang (Tradisi India) di bawah Program TVET Modular Industri Fasa 2, sekali gus menandakan kejayaan satu lagi inisiatif Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dalam memperkasakan kemahiran rakyat melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Aldrin Ng, Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah, bagi meraikan pencapaian para peserta yang telah berjaya menguasai kemahiran dalam bidang terapi berpantang tradisional India.

Program latihan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta memperkasa ekonomi komuniti melalui pembangunan kemahiran yang memenuhi keperluan industri. Pelaksanaan program ini juga selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, agenda “Satu Warga, Satu Skil”, serta usaha memperkukuhkan ekosistem TVET Negeri Perak.

Sepanjang tempoh latihan, peserta telah didedahkan kepada pelbagai modul merangkumi penjagaan selepas bersalin (postnatal care) berteraskan tradisi India, teknik rawatan tradisional, etika profesional, komunikasi pelanggan, keselamatan dan kebersihan, serta amalan terbaik dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan alternatif. Latihan berasaskan industri ini memberikan keseimbangan antara pengetahuan teori dan kemahiran praktikal yang diperlukan bagi memenuhi permintaan pasaran semasa.

Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berusaha Encik Aldrin Ng menegaskan bahawa kemahiran terapi berpantang tradisional bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia, malah mempunyai potensi ekonomi yang tinggi dalam industri kesihatan alternatif, penjagaan ibu selepas bersalin, spa, wellness dan perkhidmatan terapi profesional yang semakin berkembang.

Beliau turut menggalakkan para peserta memanfaatkan sijil yang diperoleh sebagai pemangkin untuk membina kerjaya profesional, menceburi bidang keusahawanan serta menawarkan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat. Dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, graduan kursus ini berpotensi menjadi tenaga mahir yang mampu menjana pendapatan mampan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Perak.

PASAK akan terus memperluaskan pelaksanaan program-program TVET Modular Industri yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran berasaskan industri, memperkasakan komuniti serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan usahawan tempatan yang berdaya saing.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada perjalanan kerjaya yang cemerlang serta inspirasi kepada lebih ramai rakyat Perak untuk menyertai program TVET pada masa hadapan.

#PerakPASAK ##PerakSejahtera2030 #TVETPerak #KoridorTVETNegara #TVETPilihanKerjaya #SatuWargaSatuSkills