7 Mei 2025, Jelapang, Perak – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus komited memperkukuh agenda pembangunan modal insan dan latihan kemahiran masa hadapan menerusi pelaksanaan Kursus Award in Electric Vehicle (EV) Awareness Program, yang telah diraikan dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil di Jelapang, Perak.
Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan 20 Anak Perak yang berjaya menamatkan latihan jangka masa pendek di bawah program TVET PASAK, sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperluaskan akses pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) kepada rakyat.
Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Cheah Pou Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, sebagai simbol penghargaan kepada para peserta yang berjaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi automotif masa hadapan khususnya berkaitan kenderaan elektrik (Electric Vehicle – EV).
Program latihan ini memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai teknologi EV yang kini berkembang pesat selaras dengan transformasi industri automotif global serta keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi hijau, automasi dan mobiliti pintar.
Pelaksanaan program seperti Electric Vehicle (EV) Awareness Program membuktikan usaha PASAK dalam memperkukuh pembangunan bakat tempatan, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta melahirkan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi yang bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk menjadikan Negeri Perak sebagai hab pembangunan modal insan dan Koridor TVET Malaysia, khususnya dalam bidang teknologi baharu, automotif pintar dan industri hijau.
PASAK akan terus memperluaskan program latihan TVET berkualiti agar lebih ramai Anak Perak memperoleh peluang meningkatkan kemahiran, membina kerjaya serta bersaing dalam ekonomi masa hadapan.
TVET Hari Ini, Teknologi Masa Hadapan Untuk Anak Perak.



