Mei 2025, Perak – Seramai 30 orang pelajar aliran Pendidikan Khas daripada SMK Tasek Damai, Perak telah menyertai Kursus Pembuatan Asas Pastri menerusi inisiatif Kerajaan Negeri Perak di bawah pelaksanaan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat dan pendedahan awal terhadap pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Program latihan kemahiran ini merupakan sebahagian daripada Program Kelab Kerjaya Sekolah PASAK yang bertujuan memperkenalkan peluang kerjaya dan latihan kemahiran kepada pelajar sejak di bangku sekolah. Kursus ini dikendalikan oleh HAAZA Centre of Excellence sebagai penyedia latihan yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran praktikal serta pembentukan keyakinan diri peserta.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah didedahkan dengan kemahiran asas dalam bidang pastri termasuk teknik penghasilan Doughnut Cinnamon Roll dan Baguette. Kursus jangka pendek ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran teknikal peserta, malah membuka ruang kepada pelajar untuk membina potensi diri, meneroka bidang keusahawanan serta meningkatkan tahap berdikari melalui kemahiran yang dipelajari.
Inisiatif latihan kemahiran seperti ini membuktikan komitmen PASAK dalam memastikan akses latihan TVET berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk pelajar Pendidikan Khas, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk memperkukuh pembangunan modal insan serta melahirkan generasi muda yang berkemahiran dan berdaya saing.
PASAK akan terus memperluaskan pelaksanaan program TVET, latihan kemahiran percuma serta pembangunan bakat demi memastikan lebih ramai Anak Perak mendapat manfaat melalui peluang pembelajaran yang mudah diakses dan relevan dengan keperluan industri masa hadapan.



