PASAK dan Tourism Perak Perkasa Pelancongan Komuniti Melalui Kursus Hos Komuniti Setempat (Local Host) Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

Taiping, 7 Mei 2025 – Usaha memperkukuh sektor pelancongan komuniti di Negeri Perak terus diperkasakan apabila satu sesi perbincangan penyelarasan pelaksanaan Kursus Hos Komuniti Setempat (Local Host) telah diadakan menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perak melalui Tourism Perak dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

Inisiatif ini bertujuan menyelaras pelaksanaan kursus latihan yang memfokuskan pembangunan komuniti setempat sebagai hos komuniti dan pemandu pelancong kawasan, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan melalui sektor pelancongan berasaskan komuniti.

Sesi perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Dato’ Mohd Kamil Bin Dato’ Shafie, Pengerusi Tourism Perak. Turut hadir ialah YB Dato’ Mohamad Zahir Bin Abdul Khalid, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak merangkap Pengerusi Persatuan Pelancongan Taiping, yang turut menyempurnakan sesi penggulungan dan penutup perbincangan.

Pembentangan modul kursus telah disampaikan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Kolej Empire Putra sebagai agensi pelaksana latihan. Kursus ini memberi penekanan kepada tiga objektif utama iaitu:

✅ Mengenal pasti aset budaya, warisan dan komuniti setempat
✅ Membangunkan culture-based experiential tourism heritage trail atau pengalaman pelancongan berasaskan budaya tempatan
✅ Melatih dan melesenkan hos komuniti tempatan sebagai sebahagian daripada penglibatan aktif masyarakat dalam sektor pelancongan

Pelaksanaan Kursus Local Host Perak ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti dengan memperkasakan penduduk tempatan sebagai duta kecil kawasan masing-masing serta memperkukuh pengalaman pelancong domestik dan antarabangsa.

Inisiatif ini juga merupakan antara persediaan penting Negeri Perak dalam menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia Year 2026) yang dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi, pekerjaan dan pembangunan bakat dalam industri pelancongan.

Sebagai agensi pembangunan modal insan Negeri Perak, PASAK terus komited melaksanakan program latihan berimpak tinggi, pembangunan kemahiran serta inisiatif pembangunan bakat demi memastikan rakyat Perak sentiasa bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Memperkasa Komuniti, Memajukan Pelancongan, Membina Masa Depan Perak.