Memorandum Persefahaman (MOU) Antara MMIS & PESDC

26 September 2023 – Perak | Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah dijemput menghadiri dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Multi Mould Industries Sdn Bhd (MMiS) dan Perak Entrepreneur & Skills Development Centre (PESDC) dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, pendidikan teknikal dan latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri di Negeri Perak.

Kerjasama strategik ini menjadi satu langkah penting dalam merapatkan hubungan antara sektor industri dan institusi pembangunan kemahiran, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan bakat, latihan industri serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda di Negeri Perak.

PASAK sebelum ini turut menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama bersama PESDC dan MMiS dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan serta memperluaskan akses kepada latihan teknikal dan pendidikan berasaskan industri.

Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Encik Aldrin Ng (Pengarah PASAK), Dato’ Dr Lim Si Boon (Timbalan Pengerusi PESDC), Encik Loh Chin Soon (Pengerusi Eksekutif MMiS), Encik Loh Chin Siang (Pengarah Eksekutif MMiS), Encik Jason Lee Yue Hung (Pengurus Pusat PESDC), Encik Law Woo Hock (Ketua Pegawai Kewangan MMiS), Encik Alan Yong Jaw Shyan (Ketua Pegawai Eksekutif MMiS) serta Encik Wallace Chew Law Wei (Pengurus Besar MMiS).

Melalui kerjasama strategik ini, pihak PESDC turut memaklumkan bahawa Multi Mould Industries Sdn Bhd (MMiS) akan menawarkan peluang kerjaya kepada pelajar PESDC khususnya dalam bidang 3G SMAW (Shielded Metal Arc Welding) dan Machining Processes, selari dengan keperluan industri pembuatan serta sektor teknikal yang semakin berkembang di Malaysia.

Inisiatif seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem TVET Negeri Perak, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyediakan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak industri semasa. PASAK sentiasa komited menyokong usaha pembangunan bakat dan latihan kemahiran selaras aspirasi Perak Sejahtera 2030 ke arah pembangunan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

Tahniah diucapkan kepada pihak PESDC dan MMiS atas jalinan kerjasama strategik ini. Semoga kolaborasi yang terjalin akan terus berkembang dan memberi impak positif kepada pembangunan industri, pendidikan teknikal serta peluang pekerjaan di Negeri Perak.