2 Mei 2025 – Seramai 10 Anak Perak berjaya menamatkan Program TVET Mahir Kerja: Kursus Penyelenggaraan Komputer anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkasa pembangunan modal insan serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan melalui pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET Negeri Perak).
Program latihan kemahiran ini dijalankan dengan kerjasama LSP Pro Skill Academy sebagai penyedia latihan, yang memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kemahiran penyelenggaraan komputer, asas teknikal ICT, penyelesaian masalah sistem komputer, pengurusan peralatan teknologi serta latihan praktikal mengikut standard industri semasa.
Melalui pendekatan latihan berasaskan industri, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran teknikal dalam bidang teknologi maklumat (ICT), malah turut meningkatkan keupayaan diri untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin dipacu teknologi dan transformasi digital.
Program TVET PASAK ini turut membuka peluang kepada peserta untuk mengembangkan potensi diri, memperkukuhkan bakat dalam bidang teknologi serta meningkatkan peluang kerjaya dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi yang semakin mendapat permintaan.
Satu Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil telah diadakan bagi meraikan kejayaan para peserta yang berjaya menamatkan kursus tersebut. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Ng Suat Meay, Penolong Pengurus Projek PASAK.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berusaha Dr. Desmond Lee, Pengasas LSP Pro Skill Academy serta Yang Berusaha Puan Cheong Swee Kin, Pengurus Pembangunan Perniagaan LSP Pro Skill Academy.
Sebagai agensi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat dan modal insan negeri, PASAK terus komited memperkukuhkan ekosistem TVET di Perak dengan menyediakan lebih banyak peluang latihan kemahiran berkualiti, sejajar aspirasi Perak Sejahtera 2030 bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing, kompeten dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.
PASAK akan terus memperluaskan pelaksanaan program latihan kemahiran berimpak tinggi agar lebih ramai Anak Perak mendapat akses kepada latihan teknikal, digital dan vokasional secara berkesan demi membina masa depan kerjaya yang lebih cemerlang.
TVET Memperkasa Bakat, Kemahiran Memacu Masa Hadapan.



