Perkasa Golongan OKU Melalui Kursus Asas Pembuatan Roti Bagi Tingkat Kemahiran dan Kebolehpasaran Anak Perak

5 Mei 2025 – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus komited dalam memperkasa pembangunan modal insan Negeri Perak apabila berlangsungnya Majlis Penutup & Penyampaian Sijil Kursus Asas Pembuatan Roti, yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Steven Tiew Tee Siang, ADUN Kawasan Tronoh, tengah hari tadi.

Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan 20 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) yang berjaya menamatkan latihan kemahiran dalam bidang bakeri dan pastri melalui program TVET Negeri Perak anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Cik Natasya, Ketua Unit Pembangunan & Penyelidikan PASAK, Encik Pirakas Rao dari Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu Gajah, Puan Rozliana, Presiden POPP Ipoh serta Tuan Haji Abd Azis, Ketua Eksekutif Kolej Teknologi MIDAS.

Kursus intensif selama 8 hari ini memberi pendedahan kepada peserta berkaitan asas pembuatan roti, kemahiran bakeri, teknik pastri moden serta elemen keusahawanan, sekali gus membuka peluang kepada peserta OKU untuk meningkatkan potensi diri, menjana pendapatan dan membina masa depan yang lebih mampan.

Kesemua peserta menerima latihan berstruktur daripada MIDAS Skill & Services Sdn. Bhd. menerusi modul latihan yang dibangunkan mengikut keperluan industri semasa bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran yang relevan serta memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak melalui PASAK dalam memperluaskan akses kepada latihan kemahiran TVET secara inklusif, khususnya kepada golongan OKU, agar mereka turut berpeluang membina kerjaya, meningkatkan kebolehpasaran dan meneroka peluang keusahawanan.

Program seperti ini selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan, kesejahteraan rakyat serta pengukuhan ekonomi negeri melalui pembangunan modal insan yang berdaya saing.

PASAK akan terus memperluaskan pelaksanaan program latihan kemahiran TVET berimpak tinggi demi memastikan lebih ramai Anak Perak, termasuk golongan OKU, mendapat akses kepada latihan berkualiti bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan komuniti.

Kemahiran Membina Potensi, TVET Membuka Peluang Masa Hadapan.