Soft Skills Training PERINTIS 2026

Memperkasa Kebolehpasaran Graduan Melalui Program PERINTIS 2026: PASAK Terus Melahirkan Graduan Berdaya Saing

BUKIT MERAH, PERAK – Komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Program Perak Employability Training Scheme (PERINTIS) Tahun 2026, sebuah inisiatif strategik yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran insaniah dan penyediaan bakat berkualiti bagi memenuhi keperluan sektor awam serta industri.

Majlis Penutup Soft Skills Training Program PERINTIS 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Kalui Ballroom, Bukit Merah Laketown Resort dan disempurnakan oleh YBrs. Encik Muthusamy A/L Uthirapathi, Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Perak.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Program PERINTIS telah menjadi antara inisiatif utama Kerajaan Negeri Perak dalam memperkasa graduan tempatan. Sehingga kini, seramai 321 graduan berjaya ditempatkan di pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri Perak, sekali gus membuktikan keberkesanan program dalam meningkatkan peluang pekerjaan serta memperkukuhkan kesiapsiagaan graduan menghadapi dunia kerjaya.

Melalui latihan intensif yang merangkumi kemahiran insaniah (soft skills), komunikasi profesional, kepimpinan, kerja berpasukan, penyelesaian masalah, etika profesional serta penguasaan aplikasi digital, peserta dibentuk sebagai graduan yang lebih kompeten, berdaya tahan dan bersedia memenuhi kehendak pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.

Program PERINTIS bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), agensi kerajaan, jabatan negeri serta rakan industri dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti tinggi selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada PASAK, semua majikan strategik, agensi dan jabatan Kerajaan Negeri Perak serta para penyelia PERINTIS yang sentiasa memberikan komitmen padu dalam membimbing dan membangunkan potensi graduan sepanjang program berlangsung.

Semoga Program PERINTIS terus menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat tempatan, melahirkan graduan yang kompetitif, berkemahiran tinggi dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Negeri Perak pada masa hadapan.

#PERINTIS2026 #PerakSejahtera2030 #PASAK #SoftSkills #AnakMudaPerak