14 Mei 2025 – Kuala Kangsar, Perak – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan melalui pelaksanaan Program TVET Orang Asli, apabila berlangsungnya Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Jahitan Pakaian Wanita & Lelaki yang telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Voon Kai Cheng, Pegawai Khas YB Loh Sze Yee merangkap Ahli Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berusaha Encik Saidin bin Wahab, Tok Batin Kampung Kenang yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha memperkasakan pembangunan kemahiran, pendidikan teknikal dan kesejahteraan komuniti Orang Asli di Negeri Perak.
Majlis ini diraikan sebagai penghargaan kepada 10 peserta Orang Asli yang berjaya menamatkan kursus latihan kemahiran selama 8 hari dengan penuh komitmen dan dedikasi. Program latihan ini dikendalikan oleh JDNA Enterprise dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bagi meningkatkan kebolehpasaran peserta melalui pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Sepanjang latihan dijalankan, peserta didedahkan kepada pelbagai kemahiran asas dalam bidang jahitan pakaian wanita dan lelaki termasuk teknik mendraf pola, penggunaan mesin jahit, kemahiran jahitan asas, sulaman, manik serta elemen kreativiti dalam penghasilan pakaian. Selain meningkatkan kemahiran teknikal, kursus ini turut membentuk nilai berdikari, pembangunan ekonomi keluarga serta membuka peluang keusahawanan dalam komuniti Orang Asli.
Pelaksanaan Program TVET Orang Asli PASAK merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperluaskan akses latihan kemahiran berkualiti kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti Orang Asli, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Malaysia dan hab pembangunan bakat masa hadapan.
PASAK komited untuk terus menyediakan platform latihan kemahiran, pembangunan bakat dan peluang peningkatan ekonomi kepada rakyat Perak agar lebih ramai individu memperoleh manfaat melalui program TVET yang berimpak tinggi.
Semoga kejayaan para peserta menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih cerah serta menjadi inspirasi kepada komuniti setempat untuk terus meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran dan taraf kehidupan.



