Tahniah Graduan Kursus Sports Massage & Athletic Recovery Program TVET Mahir Kerja PASAK
KAMPAR, PERAK – Syabas dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah berjaya menamatkan Kursus Sports Massage & Athletic Recovery di bawah Program TVET Mahir Kerja anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK). Program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Perak dalam memperkasa pembangunan modal insan serta melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh YB Puan Bavani A/P Veraiah, Ahli Dewan Negeri Kawasan Malim Nawar, yang turut meraikan kejayaan para peserta setelah berjaya menamatkan latihan kemahiran secara teori dan praktikal dalam bidang urutan sukan (sports massage) serta pemulihan atlet (athletic recovery).
Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik urutan sukan profesional, pemulihan kecederaan ringan, penjagaan prestasi atlet, pengurusan kecergasan serta amalan terbaik dalam industri kesihatan dan sukan. Kemahiran yang diperoleh bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET, malah membuka peluang kerjaya dalam sektor kesihatan, fisioterapi, kecergasan, sukan profesional, pusat rehabilitasi serta bidang keusahawanan.
PASAK terus komited memperluaskan akses kepada latihan TVET berkualiti, sejajar dengan agenda “Satu Warga, Satu Skil”, bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir, usahawan dan profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Perak.
Semoga kejayaan ini menjadi titik permulaan kepada perjalanan kerjaya yang lebih cemerlang dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Perak untuk menyertai program-program TVET Peningkatan Kemahiran pada masa hadapan.
Tahniah kepada semua graduan. Teruskan melangkah maju, membina kerjaya dan mencipta kejayaan bersama TVET Perak!



