Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera Zon Kinta 2026

Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera Zon Kinta 2026 Berjaya Tarik Ribuan Pengunjung, Buka Lebih Banyak Peluang Pekerjaan untuk Rakyat Perak

IPOH, 6 Julai 2026 โ€“ Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera Zon Kinta 2026 yang berlangsung sempena Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 telah melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan apabila menerima sambutan luar biasa daripada warga Zon Kinta dan kawasan sekitarnya.

Program anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) ini menjadi platform penting dalam mempertemukan pencari kerja dengan majikan daripada pelbagai sektor industri, sekali gus menyokong agenda Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh pembangunan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dan mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.

Sepanjang program berlangsung di Casuarina Convention Centre, Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, ribuan pengunjung hadir untuk meneroka peluang pekerjaan, menghadiri sesi temu duga terbuka, mendapatkan khidmat nasihat kerjaya serta berinteraksi secara langsung dengan majikan yang menawarkan pelbagai jawatan kosong.

PASAK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pencari kerja, majikan, rakan strategik, agensi kerajaan, institusi TVET serta semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera Zon Kinta 2026. Komitmen semua pihak membuktikan bahawa usaha kolaboratif merupakan pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri semasa.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, yang telah meluangkan masa melawat setiap reruai majikan bagi menyantuni para majikan, rakan industri dan pencari kerja yang hadir.

Sebagai simbolik kejayaan program, YAB Menteri Besar Perak turut menyempurnakan penyerahan surat tawaran pekerjaan kepada empat orang calon yang berjaya menerima tawaran pekerjaan bersama PROTON. Penyerahan tersebut mencerminkan keberkesanan Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera sebagai platform yang bukan sahaja mempertemukan majikan dan pencari kerja, malah berjaya menghasilkan penempatan pekerjaan secara langsung.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi negeri melalui pengukuhan modal insan, peningkatan peluang pekerjaan berkualiti serta kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima tawaran pekerjaan. Semoga peluang yang diterima menjadi titik permulaan kepada kerjaya yang lebih cemerlang, stabil dan berdaya saing.

Bagi mereka yang masih mencari peluang pekerjaan, PASAK mengalu-alukan orang ramai untuk terus mengikuti siri Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera yang akan diteruskan di zon-zon lain di seluruh Negeri Perak. Orang ramai juga digalakkan mendaftar dan mengemas kini profil kerjaya melalui Aplikasi Talent Perak bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jawatan kosong, temu duga terbuka, latihan kemahiran dan pelbagai inisiatif pembangunan kerjaya yang ditawarkan.

Terima kasih kepada seluruh warga Zon Kinta atas sokongan dan penyertaan yang amat memberangsangkan. Jumpa lagi di lokasi Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera yang seterusnya!

ย 

#JelajahKerjayaPerakSejahtera #ZonKinta #PerakSejahtera2030 #PeluangKerjaya #PerakPasakย