Program Latihan Bina Insan PASAK Bersama KPTM Berjaya Perkukuh Jati Diri dan Kepimpinan Belia
LENGGONG, PERAK – Program Latihan Bina Insan PASAK bersama Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Amazing Camp Legacy, Lenggong telah melabuhkan tirainya dengan jayanya, sekali gus mencapai objektif dalam melahirkan peserta yang berdaya tahan, berdisiplin dan memiliki nilai kepimpinan yang tinggi.
Program anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan modal insan yang memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, pengukuhan jati diri serta pembangunan kemahiran insaniah (soft skills) dalam kalangan peserta melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti pelbagai modul latihan yang direka khusus bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi berkesan, kerja berpasukan, penyelesaian masalah, pengurusan diri serta semangat kesukarelawanan. Aktiviti yang dijalankan turut memupuk nilai amanah, integriti, disiplin dan tanggungjawab sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan, kerjaya dan kehidupan bermasyarakat.
Program ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Perak melalui PASAK dalam memperkasakan pembangunan belia dan melahirkan generasi yang mempunyai daya saing tinggi, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 serta agenda pembangunan modal insan yang mampan.
PASAK percaya bahawa pembangunan modal insan bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian akademik dan kemahiran teknikal, malah perlu diseimbangkan dengan pembentukan karakter, kepimpinan serta nilai murni yang menjadi asas kepada kejayaan individu dan organisasi pada masa hadapan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta atas komitmen, disiplin dan semangat yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. Semoga segala ilmu, pengalaman serta kemahiran yang diperoleh menjadi bekalan berharga untuk terus melangkah sebagai individu yang berintegriti, berkeyakinan dan mampu menyumbang kepada pembangunan Negeri Perak serta negara.



