IPOH, 6 Mei 2025 – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama agensi pembangunan tenaga kerja apabila Pengarah PASAK, Encik Aldrin Ng, menerima kunjung hormat daripada Pengarah PERKESO Negeri Perak, Encik Mohanadas A/L Veraya, bersama Encik Faris Bin Mohd Zakhuan, Ketua Employment Services (Ketua ES) Negeri Perak.
Sesi pertemuan yang berlangsung di Ipoh ini memberi fokus kepada perancangan kolaborasi program strategik antara Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan PERKESO Perak dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta memperluaskan peluang pekerjaan untuk rakyat Negeri Perak.
Melalui sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut berkongsi idea dan pandangan berkaitan mekanisme penyaluran tenaga kerja yang lebih efektif, strategi promosi peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh serta usaha memperkasakan sokongan kepada pencari kerja khususnya dalam kalangan Anak Perak.
Kerjasama strategik antara PASAK dan PERKESO ini dijangka dapat memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuh pembangunan bakat tempatan serta membantu menghubungkan keperluan industri dengan tenaga kerja berkemahiran sejajar dengan kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Pelbagai kesepakatan turut dicapai hasil pertemuan ini sebagai langkah memperkukuhkan ekosistem pembangunan sumber manusia Negeri Perak secara berterusan.
PASAK sentiasa terbuka untuk menjalinkan kolaborasi bersama jabatan kerajaan, agensi, pemain industri dan rakan strategik bagi memastikan lebih banyak inisiatif pembangunan kerjaya, latihan kemahiran serta program peningkatan kebolehpasaran dapat dilaksanakan demi manfaat masyarakat.
Inisiatif seperti ini selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dalam membangunkan modal insan berkualiti, memperkasa bakat tempatan serta memperkukuhkan daya saing ekonomi Negeri Perak.
Kolaborasi Strategik Hari Ini, Masa Depan Kerjaya Anak Perak Esok.



