IPOH, 11 April 2025 – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Malaysian Association of Hotels (MAH) Perak Chapter dan Malaysian Association of Hotels Training and Education Centre (MAHTEC) telah menganjurkan Majlis Perasmian Kursus Peningkatan Kemahiran Industri Perhotelan di Casuarina @ Meru, Ipoh.
Majlis dirasmikan oleh Puan Halizah Binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN), dan turut dihadiri oleh Encik Aldrin Ng (Pengarah PASAK), barisan kepimpinan MAH Perak Chapter serta penggiat industri perhotelan negeri Perak.
Majlis ini menjadi titik tolak kepada usaha memperkasa tenaga kerja tempatan dalam sektor perhotelan melalui peningkatan kemahiran sejajar dengan keperluan semasa industri. Kursus ini ditawarkan selama enam bulan dengan enam modul utama merangkumi Front Office, Housekeeping, Hotel & General Management, Sales & Marketing, Maintenance dan Revenue Management.
Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif TVET Mahir Kerja oleh PASAK, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Perak untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta menyokong agenda Perak Sejahtera 2030. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dan terus komited dalam membina masa depan anak-anak Perak yang lebih cemerlang.



