Karnival TVET Perak Sejahtera 2030 Hari Pertama

27 Julai 2024 (SABTU), Ipoh.
 
Matlamat utama Karnival TVET Perak Sejahtera 2030 ini untuk memperkasakan lagi bidang TVET yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal dalam melahirkan warga yang mempunyai kemahiran mengikut minat masing-masing, meningkatkan kebolehpasaran masyarakat mengikut kemahiran, memberikan pendedahan kepada masyarakat akan kepentingan bidang kemahiran dalam pendidikan serta mewujudkan jaringan dan jalinan komuniti warga Perak berkemahiran dan bersepadu.
 
Karnival TVET Perak Sejahtera 2030 telah dimulakan dengan Bicara Kerjaya @ TVET Perak. Karnival ini diteruskan dengan Sembang Santai dengan panel YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan), YBHG. Dato’ Mohamad Fauzi bin Mahson (Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak), YB Howard Lee Chuan How (Ahli Parlimen Ipoh Timur merangkap Ahli Majlis TVET Negara) bersama moderator Dr Maisarah Ahmad (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR)).
 
Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK)
telah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) dalam melaksanakan karnival ini. Karnival TVET kali ini telah mengundang sebanyak 30 pempamer yang menawarkan 50 kursus TVET. Pempamer ini terdiri daripada Institut-Institut Kemahiran, Pendidikan, dan Latihan, serta agensi-agensi yang berkepentingan dalam industri TVET. Seramai 500 orang pelajar dan guru pengiring merangkumi hampir seluruh daerah dalam Perak terdiri daripada peringkat pra sekolah, sekolah rendah, dan menengah telah menyertai pertandingan TVET yang dilancarkan sepanjang karnival ini berlangsung. Pertandingan ini merupakan platform untuk pelajar menonjolkan bakat dan kemahiran mereka dalam bidang TVET.
 
Karnival TVET Perak Sejahtera 2030 ini dijalankan secara bersemuka di AEON Big Falim dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Jangan risau, anda masih boleh hadir esok (28 Julai) ke Karnival TVET.
Mohler kome!

Kongsikan

Berita lain-lain: