29 September 2023 (Jumaat) – Perak | Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus komited dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan melalui pendidikan dan latihan kemahiran apabila berlangsungnya Majlis Penyampaian Sijil TVET Modular Industri bagi Kursus Juruteknik Automotif dan Kursus Juruteknik Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.
Majlis penyampaian sijil ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Angeline Koo Haai Yen (Ahli Dewan Undangan Negeri Keranji) bersama Encik Aldrin Ng (Pusat Aspirasi Anak Perak – PASAK) serta Puan Hajjah Normah Binti Haji Karim (Pengarah Pusat Bertauliah Menara International College).
Program latihan kemahiran TVET ini melibatkan penyertaan seramai 40 peserta dan dijalankan selama 12 hari dengan objektif memperkasakan kemahiran teknikal serta meningkatkan kebolehpasaran peserta dalam sektor industri yang semakin berkembang.
Bagi Kursus Juruteknik Automotif, peserta didedahkan kepada kemahiran asas berkaitan baik pulih enjin kenderaan ringan (overhaul), pemeriksaan kenderaan serta aspek penyelenggaraan automotif yang menjadi antara kemahiran penting dalam industri automotif masa kini.
Manakala bagi Kursus Juruteknik Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, peserta diberikan latihan berkaitan penyelenggaraan sistem penyaman udara dan teknologi penyejukbekuan, selaras dengan keperluan industri teknikal serta peluang pekerjaan yang semakin meningkat dalam sektor berkaitan.
Pelaksanaan program TVET Modular Industri PASAK ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam menyediakan platform pembangunan kemahiran yang berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya golongan belia dan Anak Perak, bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Inisiatif seperti ini selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dalam memperkukuh pembangunan modal insan, memperluaskan akses latihan kemahiran serta merealisasikan hasrat menjadikan Negeri Perak sebagai Koridor TVET Malaysia.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan kursus dan menerima sijil pada majlis kali ini. Semoga ilmu serta kemahiran yang diperoleh menjadi pemangkin kepada peluang kerjaya yang lebih baik serta membantu meningkatkan taraf ekonomi dan kesejahteraan hidup.
PASAK akan terus komited memperluaskan akses pendidikan TVET serta latihan kemahiran berkualiti demi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.



