6 Oktober 2023 (Jumaat) – Perak | Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus komited dalam memperkasakan pembangunan modal insan Negeri Perak melalui pelaksanaan Program Pemetaan Kerjaya: Taklimat Haluan Pendidikan dan Kerjaya Lepasan SPM yang berlangsung di SMK Sultan Tajul Arifin.
Program pendidikan dan kerjaya ini telah melibatkan penyertaan seramai 150 orang murid Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5, dengan objektif membantu pelajar memahami peluang pendidikan, laluan kerjaya serta pilihan pembangunan kemahiran yang boleh diterokai selepas tamat persekolahan.
Taklimat telah disampaikan oleh Encik Firdaus Bin Dzi Murad, yang berkongsi penerangan berkaitan fungsi dan peranan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dalam pembangunan bakat, latihan kemahiran serta pembangunan modal insan negeri.
Selain itu, para pelajar turut diberikan pendedahan mengenai:
✅ Haluan pendidikan selepas SPM
✅ Laluan kerjaya mengikut minat dan bakat
✅ Permintaan tenaga kerja industri semasa di Malaysia
✅ Peluang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET)
✅ Bidang kemahiran yang mempunyai potensi kerjaya tinggi
✅ Pembangunan kebolehpasaran graduan dan tenaga kerja masa hadapan
Melalui program Pemetaan Kerjaya PASAK ini, murid-murid turut didedahkan kepada pelbagai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh diceburi sebagai pilihan kerjaya masa hadapan, selaras dengan keperluan industri dan transformasi ekonomi negara.
Program seperti ini memainkan peranan penting dalam membantu pelajar membuat keputusan yang lebih tepat berkaitan pemilihan kursus pengajian, pembangunan kemahiran serta hala tuju pendidikan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Inisiatif PASAK ini juga selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berkualiti, kebolehpasaran bakat tempatan serta usaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan TVET di Negeri Perak.
PASAK merakamkan penghargaan kepada pihak SMK Sultan Tajul Arifin atas kesudian menjemput PASAK menjayakan program pembangunan pendidikan dan kerjaya ini. PASAK akan terus membuka ruang kerjasama bersama sekolah, institusi pendidikan serta pelbagai organisasi demi memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan generasi masa hadapan.



