Tahniah Graduan Kursus Decoration Flower Cake Program TVET Modular Industri Fasa 2 PASAK
IPOH, PERAK – Syabas dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada 20 orang peserta yang telah berjaya menamatkan Kursus Decoration Flower Cake di bawah Program TVET Modular Industri Fasa 2 anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK). Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil telah berlangsung pada 31 Julai 2026 di Fantastic Pastry Academy, Ipoh, sekali gus menandakan kejayaan para peserta menguasai kemahiran dalam bidang seni hiasan kek yang semakin mendapat permintaan dalam industri kulinari.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Aldrin Ng, Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang turut meraikan pencapaian peserta setelah berjaya mengikuti latihan intensif berasaskan industri.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada teknik hiasan kek bunga (flower cake decoration), kemahiran menghasilkan dekorasi pastri yang kreatif, penggunaan peralatan profesional, kawalan kualiti produk, amalan kebersihan makanan serta etika kerja yang memenuhi kehendak industri bakeri dan pastri. Latihan ini memberi nilai tambah kepada peserta untuk meningkatkan kebolehpasaran, membina kerjaya dalam sektor makanan dan minuman (F&B), serta menceburi bidang keusahawanan bakeri dan pastri.
Sebagai kesinambungan latihan, semua peserta akan menjalani latihan industri (On-the-Job Training) selama tiga bulan, yang merupakan komponen penting dalam Program TVET Modular Industri. Pengalaman bekerja secara langsung bersama industri akan membantu peserta memperkukuhkan kemahiran teknikal, meningkatkan keyakinan diri serta memperoleh pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.
Program ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak melalui PASAK dalam memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir, usahawan baharu dan bakat tempatan yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan agenda “Satu Warga, Satu Skil.”
Tahniah kepada semua graduan. Semoga ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh menjadi asas untuk membina kerjaya yang cemerlang serta mengembangkan perniagaan dalam industri kulinari dan pastri pada masa hadapan.
#PASAK #PerakSejahtera2030 #TVETPerak #UsahawanMuda #TVETPilihanKerjaya #SatuWargaSatuSkills



