Majlis Santunan Kasih 2026

60 Graduan TVET Penjagaan Warga Emas Perak Dirai dalam Majlis Santunan Kasih 2026, Perkukuh Agenda Silver Economy Negeri

IPOH, 7 Julai 2026 โ€“ Seramai 60 graduan Program TVET Penjagaan Warga Emas Perak telah diraikan dalam Majlis Makan Malam Santunan Kasih 2026 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di MH Hotel, Ipoh.

Majlis yang penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Salbiah binti Mohamed sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang berjaya menamatkan Program TVET Kursus Kaigo Lite: The Essence of Caregiving serta Kursus Penjagaan Warga Emas Pensijilan Profesional 2026.

Program ini merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri Perak melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Wanita Perak dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan serta melahirkan tenaga kerja profesional yang berkemahiran tinggi dalam bidang penjagaan warga emas.

Selain memberi latihan teknikal dan kemahiran praktikal, program ini turut menerapkan nilai kemanusiaan melalui konsep “Manusia Menyantuni Manusia”, yang menjadi asas penting dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan berkualiti kepada golongan warga emas.

Pelaksanaan program ini juga selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam memperkukuhkan Silver Economy atau ekonomi berasaskan penuaan penduduk. Pembangunan tenaga mahir dalam sektor penjagaan warga emas dijangka mampu memenuhi permintaan industri penjagaan kesihatan, pusat jagaan, komuniti serta perkhidmatan sokongan warga emas yang semakin berkembang di Malaysia.

Majlis Santunan Kasih 2026 bukan sahaja meraikan kejayaan para graduan, malah menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memperluaskan akses kepada latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang relevan dengan keperluan industri masa kini dan masa hadapan.

PASAK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi, tenaga pengajar, rakan strategik dan peserta yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Tahniah kepada semua graduan atas pencapaian cemerlang dan semoga terus berjaya menjadi tenaga profesional yang berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan sektor penjagaan warga emas di Negeri Perak dan Malaysia.