24 September 2024(SELASA).
Satu lawatan pemantauan dan penanda aras sempena pelaksanaan Program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) telah dianjurkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Belia Mahir dan Tang International Education Group pada 24 sehingga 29 September 2024 merentasi 3 daerah di China iaitu Guangdong, Guangxi serta Guizhou.
Delegasi dari Negeri Perak diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, YB Sivanesan A/L Achalingam dan disertai oleh enam (6) orang pegawai iaitu Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Cik Aida Hazlyn binti Hassan; Encik Aldrin Ng, Pengarah PASAK; Cik Nur Adlin Mastura binti Abdul Kahar, Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak; Puan Han Wen Huey, Pengurus Bahagian Kewangan dan Sumber Manusia PASAK; dan Puan Ng Suat Meay, Penolong Pengurus PASAK.
Program MCYTT yang dilaksanakan ini terdiri daripada 3 siri latihan yang secara keseluruhanya melibatkan 50 orang anak Negeri Perak dihantar ke China untuk mendalami ilmu kemahiran dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan autonomi (AV). Untuk siri ke-2, pada kali ini seramai 15 orang belia Perak telah dihantar ke Guizhou Communications Polytechnic University bermula 20 sehingga 29 September 2024 bagi menerima pendedahan berkaitan Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa.
Sempena sambutan ulang tahun diplomatik 50 tahun di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan China pelbagai kerjasama strategik bagi pembangunan pendidikan terutamanya dalam bidang TVET telah termeterai untuk menjadi game changer dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia. Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri melalui PASAK melihat kerjasama rancak di peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan China sebagai peluang berharga untuk menempatkan belia Perak mengikuti latihan dalam pelbagai bidang TVET di China berikutan fasiliti canggih dan modul pembelajaran yang moden serta mengikuti peredaran teknologi semasa.
Lawatan ini merupakan lawatan pertama YB Sivanesan ke China sejak menyandang jawatan pada 22 November 2022. Pengisian lawatan selama 6 hari, 5 malam ini dimulakan dengan kunjungan ke Guangdong Kensun Technology Ltd. iaitu antara kilang pembuatan dan pengeksport alatan automotif terbesar di China serta menyediakan perkhidmatan reka bentuk dan pembuatan mesin. Syarikat ini menyatakan ketersediaan untuk menerima pelatih industri dari Negeri Perak dengan tempoh praktikal selama 3 ke 6 bulan.
Selanjutnya, lawatan kerja diteruskan ke Lazada Cross Border Ecological Innovation Service Centre (TusCBEC) yang berfungsi sebagai inkubator kepada usahawan baru, perkhidmatan stor penyimpanan luar negara, perkhidmatan logistik rentas sempadan, pemasaran dan promosi jenama, perkhidmatan e-commerce berasaskan Artificial Intelligence (AI), servis penstriman langsung dalam pelbagai bahasa dan hub saluran pengedaran produk tempatan dan produk antarabangsa. Dalam pertemuan tersebut, Pengerusi TusCBEC menawarkan pelbagai jenis kerjasama yang tidak terhad kepada latihan industri tetapi terbuka kepada program Train of Trainers, bengkel kepada Startups dalam Digital Accelerator Program dan sebagainya.
Usai kunjungan kepada pemain industri, delegasi Kerajaan Negeri Perak membuat lawatan dan perbincangan ke institusi pendidikan yang menduduki ranking terbaik serta prestasi cemerlang di daerah Nanning, Guangxi dan Guiyang, Guizhou. Sebanyak 4 buah kolej dan universiti dilawati iaitu Nanning Vocational and Technical University (NVTU), Guangxi Financial Vocational College, Guizhou Communications Polytechnic University (GCPU) dan Guizhou Institute of Technology. Setiap institusi ini mempunyai kekuatan dalam bidang berlainan antaranya AI, New Energy Vehicle, Smart Architecture and Smart City, Big Data, Road and Bridge Construction, Integrated Engineering, Tourism and Culture Exchange dan sebagainya. Titik persamaan dari institusi yang dilawati ini ialah kolaborasi erat industri – akademia yang menyumbang sama ada dari segi kewangan, teknologi dan kepakaran dalam pembangunan modal insan sejak di peringkat pendidikan sekunder dan tertiari.
Delegasi ini teruja melihat bagaimana Huawei menaja pelajar-pelajar cemerlang dari School of AI di NVTU sehingga berjaya mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan. Selain itu, BYD dan Geely menaja kenderaan elektrik untuk digunakan sebagai modul pembelajaran di dalam kelas. Manakala, syarikat Schneider Electric yang berasal dari German menubuhkan satu makmal khusus untuk penerokaan kenderaan menggunakan sumber tenaga hijau boleh baharu di GCPU serta mengiktiraf hasil penyelidikan pelajar dan pensyarah untuk diintegrasikan dalam produk keluaran syarikat mereka.
Kemuncak kepada lawatan ini adalah majlis penutup program MCYTT Siri 2 dan penyampaian Certificate of Completion yang diserahkan oleh YB Sivanesan; Sekretariat GCPU, Mr Wang Changlin ; dan Pengerusi Lembaga Pendidikan Daerah Guizhou, Mr Ye Sen. Pendedahan latihan kepada peserta adalah berorientasikan kepada kenderaan jenis voltan tinggi tenaga baharu, penggunaan peralatan perlindungan diri untuk penyelenggaraan kenderaan tenaga baharu, penyambungan kuasa dan prosedur pengujian semasa untuk penyelenggaraan kenderaan tenaga baharu dan lain-lain lagi. Bertuahnya peserta ini kerana model kenderaan yang digunakan sebagai pembelajaran teknikal dalam kelas adalah jenama antarabangsa seperti Tesla dan Volkswagen.
Susulan daripada lawatan ini, Kerajaan Negeri akan mengadakan pelbagai libat urus dan perbincangan dengan kementerian, jabatan, dan pelbagai institusi pendidikan di Perak supaya wujud kesinambungan hasil jalinan kerjasama dari lawatan penanda aras khususnya dalam sektor automotif demi menjayakan salah satu agenda penting di Bawah Perak Sejahtera 2030 iaitu menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Malaysia melalui aspirasi ”Satu Warga, Satu Skill”.
Dapatkan Aplikasi Talent Perak :