PROGRAM HOS KOMUNITI SETEMPAT 2026

CHENDEROH, 12 Februari 2026 – Kerajaan Negeri Perak terus komited memperkasakan TVET, khususnya dalam sektor pelancongan menerusi kursus latihan jangka pendek, Hos Komuniti Setempat.
 
Program berimpak tinggi ini dilaksanakan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama strategik pihak MOTEC dan Tourism Perak. Inisiatif ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang tenaga dalam sektor pelancongan negeri.
 
Seramai 31 orang anak Perak telah berjaya menamatkan latihan intensif selama 11 hari. Pecahan peserta melibatkan 17 orang dari daerah Taiping dan 14 orang dari Kuala Kangsar. Menerusi kursus ini, peserta dibekalkan dengan ilmu pengacaraan dan hospitaliti bagi menyambut pelancong.
 
Majlis Penutup kursus tersebut telah berlangsung di Kolej Komuniti Chenderoh petang ini dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid (Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak), diiringi oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohamad Kamil bin Dato’ Shafie (Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad).
 
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pelancongan serta memperkukuh kesiapsiagaan komuniti sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.