IPOH, 7 Jan – Mesyuarat Jawatankuasa Majlis TVET Negeri Perak yang pertama bagi tahun 2026 telah berlangsung petang tadi dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak. Mesyuarat yang cukup signifikan ini merupakan langkah kerajaan negeri dalam merangka strategi bagi memperkukuh agenda TVET selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
YAB Menteri Besar menegaskan bahawa kita tidak seharusnya bergerak secara silo. Sebaliknya, tindakan bersama dan langkah strategik adalah kunci utama untuk memartabatkan negeri Perak sebagai Koridor TVET Negara menjelang tahun 2030.
Mesyuarat ini turut melibatkan jalinan strategik pelbagai pihak berkepentingan, merangkumi jabatan, agensi kerajaan, serta sektor swasta bagi memperteguh kerjasama sedia ada.
Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) selaku Sekretariat Majlis TVET Negeri akan terus komited dalam melaksanakan mandat ini dengan kerjasama yang kukuh demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi Negeri Perak.



