Anak Perak Tamat Program TikTok Affiliate Marketer PASAK, Perkasa Kemahiran Digital dan Keusahawanan Era Teknologi

Hutan Melintang, 20 April 2025 – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Makro Mestika Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program TikTok Affiliate Marketer yang berlangsung di Hutan Melintang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pembangunan kemahiran digital dan keusahawanan dalam kalangan rakyat Negeri Perak.

Seramai 20 peserta Anak Perak telah berjaya menamatkan kursus intensif selama 5 hari yang memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pemasaran digital, strategi TikTok Affiliate, penjenamaan digital, pemasaran kandungan (content marketing), pembangunan perniagaan dalam talian serta teknik menjana pendapatan melalui platform media sosial TikTok.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Wasanthee Sinnasamy, ADUN Hutan Melintang, dan turut dihadiri oleh Encik Anu Haran selaku tenaga pengajar program serta Puan Natasya sebagai wakil daripada pihak Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

Program ini menjadi antara inisiatif baharu PASAK yang selari dengan perkembangan teknologi digital dan ekonomi masa hadapan, dengan memberi peluang kepada peserta untuk memahami potensi TikTok sebagai platform pemasaran digital dan medium keusahawanan moden yang mampu membantu meningkatkan pengetahuan perniagaan serta menjana pendapatan tambahan.

Melalui latihan yang berorientasikan industri semasa, peserta turut didedahkan kepada kemahiran membina kandungan digital berkualiti, strategi pemasaran produk, pembangunan jenama perniagaan dan teknik meningkatkan capaian pelanggan melalui platform media sosial.

Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif Kursus TVET Latihan Mahir Kerja PASAK, yang memberi fokus kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam menjadikan Negeri Perak sebagai Koridor TVET Malaysia.

Sebagai agensi pembangunan modal insan negeri, PASAK terus komited menyediakan peluang latihan kemahiran yang relevan dengan perkembangan industri semasa bagi memastikan lebih ramai Anak Perak memperoleh akses kepada latihan berkualiti, memperkukuh kebolehpasaran serta membina masa depan kerjaya yang lebih mampan dalam era ekonomi digital.

TVET Memperkasa Bakat, Teknologi Membuka Peluang Masa Hadapan.