Perak, 14 Mac 2025 โ Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah mengadakan Majlis Penutup & Penyampaian Sijil Kursus Seni Reka Gaya Rambut Profesional dan Pemasaran Digital sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kemahiran teknikal dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dalam industri kecantikan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh En Mohd Yafiz bin Mustafa yang mewakili Tuan Haji Khairul Azwan bin Dato’ Harun, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak DUN Kg. Gajah. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kursus ini. Beliau turut menekankan kepentingan gabungan kemahiran teknikal dan pemasaran digital dalam membantu peserta menceburi bidang keusahawanan serta memperluaskan peluang kerjaya.
Sebagai agensi yang memainkan peranan dalam pembangunan sumber manusia di Perak, PASAK terus komited dalam menawarkan pelbagai kursus latihan kemahiran TVET kepada pelbagai golongan bagi memastikan lebih ramai individu mendapat akses kepada latihan kemahiran yang berkualiti.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah berjaya melengkapkan kursus ini. Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkembangkan bakat dan membina masa depan yang lebih cerah.



