Ipoh, 16 April 2025 – Kerajaan Negeri Perak menjemput seluruh rakyat Negeri Perak untuk bersama-sama memeriahkan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani 2025 yang akan berlangsung pada 19 April 2025 (Sabtu) bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Kompleks Sukan Tapah, Perak.
Program berskala negeri ini merupakan antara inisiatif utama Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuhkan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pembangunan kemahiran, latihan teknikal dan peluang kerjaya masa hadapan.
Majlis pelancaran program telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Encik Khairudin Bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Dr. Mior Hamdan Bin Haji Ghazali, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Dr. Nasreen Khanum Binti Nawab Zadah, Pengurus Besar Yayasan Perak serta Encik Aldrin Ng, Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).
Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani membawa aspirasi besar dalam memperkasa pendidikan kemahiran dan pembangunan modal insan Negeri Perak melalui pelbagai aktiviti interaktif yang memberi manfaat kepada pelajar, belia, ibu bapa serta masyarakat setempat.
Antara aktiviti menarik yang bakal berlangsung ialah:
✅ Perkongsian Ikon TVET
✅ Demonstrasi Kemahiran TVET
✅ Pameran Jentera Berat
✅ Servis Gunting Rambut Percuma
✅ Persembahan Muzik dan Aktiviti Santai
✅ Pameran Pendidikan dan Latihan Kemahiran
✅ Peluang Pembangunan Kerjaya dan TVET
Lebih menarik, pengunjung turut berpeluang menyaksikan sesi khas “Dari Dapur Cikgu Saarani”, yang menampilkan YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama chef jemputan dalam demonstrasi masakan secara langsung.
Program ini selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam menjadikan Negeri Perak sebagai Koridor TVET Malaysia, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan Anak Perak.
Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus komited menjadi peneraju pembangunan bakat, latihan kemahiran dan pendidikan TVET bagi memastikan Negeri Perak terus melahirkan generasi muda yang berdaya saing, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Ayuh hadir dan meriahkan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani 2025. Bersama kita perkasa TVET demi masa depan Anak Perak dan Negeri Perak yang lebih cemerlang.



