Pemetaan Kerjaya Daerah Kerian

12 September 2024(KHAMIS).
 
Sebuah taklimat motivasi kerjaya telah diadakan di Lake Town Resort, Gunung Semanggol, melibatkan 100 orang murid daripada Kelab SPBT & Pengawas SPBT Tahun 2024, Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Ia dikendalikan oleh En Firdaus b Dzi Murad, selaku Ketua Unit Pelaksana, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK). Acara ini bertujuan untuk memberikan panduan dan dorongan kepada pelajar dalam merancang kerjaya mereka serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif.

Taklimat dimulakan dengan pengenalan ringkas oleh penceramah tentang perkongsian latar belakang PASAK, serta lika-liku pendidikan dan kerjaya beliau. Ceramah diteruskan dengan sesi dengan pendedahan mengenai kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan pengurusan masa.
Interaksi antara penceramah dengan murid amat memberangsangkan ketika sesi ‘Lukisan Kerjaya’ berlangsung. 

Dapat dilihat bahawa keyakinan beberapa orang murid terserlah apabila berkongsi dan membentangkan lukisan masing-masing.
Turut ditekankan tentang pemilihan kerjaya yang ada di pasaran seperti kerjaya dalam aliran TVET, selain kepentingan untuk mengenal pasti minat dan kekuatan diri sebelum membuat keputusan mengenai laluan kerjaya yang sesuai.

PASAK berharap semoga perkongsian taklimat ini dapat membantu sedikit-sebanyak dalam menentukan haluan kerjaya dalam kalangan murid.