Pada 29 Julai 2025, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah menganjurkan Kursus Asas Solekan bertempat di SMK Pengkalan, Ipoh, melibatkan penyertaan seramai 30 murid Tingkatan 3 dan 4. Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang dengan objektif dalam mendedahkan kepada murid tentang kemahiran asas dalam bidang solekan, serta potensi kerjaya dalam industri kecantikan.
Antara pengisian kursus termasuklah pengenalan kepada alatan solekan, teknik solekan asas harian, penjagaan kebersihan alat solek, serta demonstrasi langkah demi langkah. Murid juga diberi peluang untuk melakukan praktikal secara berpasangan, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kemahiran mereka secara langsung.
Program ini turut membuka ruang kepada murid untuk mengenal bidang TVET dalam industri kecantikan yang semakin mendapat perhatian dan permintaan tinggi dalam pasaran kerja. Melalui kursus ini, PASAK berharap dapat memupuk minat murid terhadap bidang kemahiran serta menyemai kesedaran bahawa pendidikan vokasional merupakan laluan yang berdaya saing dan menjanjikan masa depan yang cerah. Rata-rata peserta menunjukkan minat yang tinggi dan memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran program ini.