Batu Gajah โ 18 Jun 2025, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah mengadakan Lawatan Industri ke CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd bersama 40 orang murid Sekolah Menengah Toh Indera Wangsa Ahmad (TIWA), Batu Gajah, Perak.
CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) Sdn Bhd merupakan syarikat lokomotif yang telah ditubuhkan pada 2012 dan merupakan pangkalan pembuatan pertama CRRC di luar China. Batu Gajah, Perak sangat bertuah kerana telah terpilih sebagai lokasi pelaburan yang bernilai tinggi. Antara produk utama kilang ini ialah kereta api laju atau Electric Train Service (ETS). Sepanjang lawatan ini, pelajar berpeluang melihat sendiri operasi harian syarikat, memahami struktur organisasi serta teknologi yang digunakan dalam industri sebenar dan pelajar juga diberi ruang untuk bertanya dan berinteraksi terus dengan pihak industri.
Program ini adalah salah satu usaha untuk memberi pendedahan kepada pelajar terhadap dunia pekerjaan sebenar, mewujudkan jaringan hubungan antara pelajar dan pihak industri dan memberi pendedahan kepada pelajar terhadap keperluan dan kehendak majikan masa kini bagi memenuhi peluang pekerjaan industri.
Selain itu, Pengarah PASAK, Encik Aldrin Ng juga berkesempatan untuk menghadiri Sesi Ramah Mesra bersama 10 orang pekerja yang berjaya mendapat penempatan menerusi Program Moh Kroje yang merupakan salah satu program temuduga terbuka yang dianjurkan oleh PASAK.
Diharapkan program seperti ini dapat menyuntik semangat dan inspirasi kepada murid untuk lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan kelak selepas tamat pengajian tertinggi. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan lawatan ini dan tahniah diucapkan kepada semua pencari kerja yang telah berjaya mendapat penempatan di syarikat yang berprestij ini.