Ipoh, bakal menjadi tumpuan dunia apabila Malaysia Culinary World Cup 2025 (MCWC 2025) kembali untuk edisi kedua pada 27 hingga 29 Jun ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Malaysia Bersatu Culinary Association (MBCA) dengan kerjasama Global Chef Union (GCU), dijangka menyaksikan penyertaan hampir 800 peserta dari 26 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Afrika Utara, Timur Tengah, dan Asia Tenggara.
Edisi pertama MCWC pada 2023 di Kuala Lumpur mencatat sejarah apabila diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai pertandingan kulinari terbesar di dunia dengan penyertaan 713 peserta.
Setakat ini, hampir 800 penyertaan diterima, melibatkan 600 peserta tempatan dan lebih 200 peserta antarabangsa.
Sebanyak 65 kategori dipertandingkan merangkumi profesional dan pelajar kulinari, termasuk kategori khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dewasa dan kanak-kanak.
Seramai 115 chef profesional akan menjadi juri, terdiri daripada 55 juri antarabangsa dan 60 juri tempatan.
Sebanyak 80 booth jualan disediakan untuk peniaga tempatan memasarkan produk mereka dengan kadar sewa berpatutan sepanjang tiga hari program berlangsung.
Dalam sidang media yang diadakan di Restoran Tandoor Grill, Ipoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, YB Jenny Choy Tsi Jen, mewakili Exco Pelancongan, YB Loh Sze Yee, menyatakan bahawa pertandingan ini bukan sahaja platform untuk mencungkil bakat chef tempatan dan antarabangsa, tetapi juga peluang bagi industri hotel dan pelancongan mencari bakat baru.
Presiden MBCA, Chef Arthur Lim, menambah bahawa penganjuran di Ipoh bertujuan mempromosikan tarikan pelancongan negeri Perak serta memperkenalkan keunikan masakan tempatan kepada dunia.
Sementara itu, Chef Fazalina Ismail, menekankan bahawa buat pertama kalinya, kategori khas untuk OKU diperkenalkan dalam pertandingan ini.
“Sebanyak 51 peserta OKU, termasuk pelajar dan peniaga, telah mendaftar, dengan yuran penyertaan sebanyak RM50.
“Kategori ini bertujuan memberi peluang kepada golongan OKU untuk menunjukkan kebolehan mereka dalam bidang kulinari dan membuka peluang pekerjaan dalam industri berkaitan. Orang ramai juga dialau-alukan menyertai MBCA,” katanya.
Untuk maklumat lanjut atau pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Chef Fazalina Ismail di talian 017-723-5660.
Masuk adalah percuma kepada pengunjung yang ingin menyaksikan pertandingan dan hasil kerja yang dipertandingkan.