Taiping, 7 Mei 2025 โ Satu sesi perbincangan penyelarasan bagi pelaksanaan Kursus Hos Komuniti Setempat (Local Host) telah diadakan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Perak melalui Tourism Perak dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK). Sesi ini bertujuan menyelaras gerak kerja dan pelaksanaan kursus yang menyasarkan penglibatan penduduk tempatan sebagai hos komuniti atau pemandu pelancong kawasan.
Sesi perbincangan ini dipengerusikan oleh Dato’ Mohd Kamil Bin Dato’ Shafie iaitu Pengerusi Tourism Perak. Turut hadir ialah YB Datoโ Mohamad Zahir Bin Abdul Khalid, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak merangkap Pengerusi Persatuan Pelancongan Taiping, yang turut menyempurnakan sesi penggulungan dan penutup perbincangan.
Pembentangan modul kursus telah disampaikan oleh dua agensi pelaksana iaitu Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Kolej Empire Putra, dengan penekanan kepada tiga objektif utama kursus, iaitu mengenalpasti aset budaya dan komuniti, membangunkan โculture-based experiential tourism heritage trailโ, dan melesenkan hos komuniti tempatan sebagai satu inisiatif penglibatan aktif masyarakat.
Kursus ini dijangka menyumbang kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti dan memperkasakan penduduk tempatan sebagai duta kecil kawasan, selaras dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026. PASAK komited untuk terus memainkan peranan dalam membangunkan modal insan negeri Perak melalui pendekatan latihan berimpak tinggi.