Lenggong, 19 Mei – 21 Mei 2023.
Tamat sudah Latihan Bina Insan Siri 1 2023 yang bertempat di Amazing Camp Legacy, Lenggong Perak. Program ini telahpun berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula dari 19 Mei 2023 sehingga 21 Mei 2023. Program pada kali ini ini telah dilaksanakan oleh Pengasas dan Ketua Urusetia Amazing Camp Legacy: Legends By Nature, Dato’ Abd Rashid Bin Harun. Program ini juga telah disertai oleh 26 orang peserta yang hadir dari seluruh negeri Perak.
Buat julung kalinya, program Latihan Bina Insan ini dianjurkan di kawasan luar, yang mana pada kebiasaannya akan dijalankan di pusat penginapan seperti hotel. Dengan persekitaran yang berbeza dari biasa, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai ilmu Kepimpinan, Ilmu Kelangsungan Hidup, Persediaan dan Tindakan Strategik Menghadapi Kecemasan, Kerjasama Berpasukan, Masakan Taktikal, dan Semangat Setiakawan.
Selain itu, Latihan Bina Insan Siri 1 ini turut membawakan Institut Darul Ridzuan untuk menerangkan Pelan Perak Sejahtera 2030 kepada para peserta agar mereka maklum dengan visi dan misi Kerajaan Negeri Perak dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak dan memacu pembangunan sosioekonomi yang seimbang berpaksikan matlamat Perak Makmur, Rakyat Sejahtera.
Tambahan lagi, antara slot aktiviti menarik menarik yang telah dijalankan semasa program berlansung adalah sesi perkongsian dan temubual bersama para jurulatih yang merupakan bekas Komando VAT 69 mengenai pengalaman dan kehidupan mereka semasa bertugas. Perkongsian ini telah membuka minda para peserta tentang pengorbanan dan semangat patriotisme dalam perjuangan mempertahankan negara Malaysia.
Terima Kasih diucapkan kepada para jurulatih yang telah hadir melatih peserta yang terlibat. Terima kasih juga kepada peserta atas kesudian menyertai program Latihan Bina Insan Siri 1 ini. Semoga semua perkara yang dikongsikan semasa program ini dapat memberi nilai tambah kepada diri peserta yang hadir. Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sangat terbuka untuk menjalankan program bersama pelbagai pihak dalam memberikan manfaat kepada masyarakat.



