Kursus Terapi Urutan Guasha (Program TVET Warga Emas)

1 Ogos 2025 – Majlis Penutup dan Penyerahan Sijil: Kursus Terapi Urutan Guasha (Program TVET Warga Emas) telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Encik Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak, bertempat di Dewan Orang Ramai, Kampung Belanja, Parit.

Majlis ini meraikan pencapaian para peserta warga emas yang telah berjaya menamatkan kursus selama lima hari dengan penuh dedikasi dan semangat. Kursus ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Perak melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan diselaraskan bersama Rose Prestige sebagai penyedia latihan.

Para peserta didedahkan kepada ilmu dan kemahiran terapi Guasha secara menyeluruh, merangkumi teknik asas urutan, anatomi tubuh manusia serta latihan praktikal berasaskan industri. Inisiatif ini membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus menimba ilmu dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi.

Program ini turut membuka peluang kepada peserta untuk mempraktikkan kemahiran di rumah, memperkukuh penjagaan kesihatan kendiri dan keluarga, serta berpotensi menjana pendapatan melalui kaedah digital dan media sosial. Usaha ini sejajar dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 dalam memperkukuh TVET sebagai teras pembangunan insan.

Semoga kejayaan peserta menjadi inspirasi kepada semua warga Perak dalam mendepani masa depan yang lebih produktif dan sejahtera.