IPOH, 26 Mac – Kerajaan Negeri Perak terus komited memperkasakan golongan muda dengan melancarkan Dewan Belia Negeri Perak sesi kelima bagi tahun 2025/2026, yang akan bersidang pada Julai ini.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Sa’arani Bin Mohamad, yang turut dihadiri YB Encik Khairudin Abu Hanipah (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak), Puan Nor Azah Ahmad Dahalan (Pengarah JBS Perak), Encik Muhamad Iqbal Jamal (Pengarah STRATCOMM Perak), Encik Aldrin Ng (Pengarah PASAK) dan Puan Noor Azwan (Penolong Setiausaha Dewan Belia Sesi Keempat) serta rakan media.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani Mohamad, mengumumkan peningkatan peruntukan kepada RM0.6 juta bagi tahun 2025, berbanding RM0.4 juta tahun sebelumnya. Jumlah perwakilan juga bertambah kepada 63 orang, termasuk 59 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 4 kuota khas agensi kerajaan negeri.
Pemilihan terbuka kepada golongan muda yang belum pernah menyertai Dewan Belia, berumur 18 hingga 30 tahun yang menetap di Perak sekurang-kurangnya lima tahun, fasih berbahasa Melayu, serta bebas daripada rekod jenayah dan status muflis.
Pendaftaran pencalonan bermula dari hari ini, 26 Mac hingga 25 April 2025 melalui laman sesawang eheyns.com.my. Semoga pelancaran program ini diharap dapat melahirkan pemimpin muda yang kompeten demi mencapai matlamat pelan Perak Sejahtera 2030.