Jumaat – 6 Oktober 2023.
Selesai sudah Majlis Penyampaian Sijil TVET Warga Emas bagi Kursus Penjagaan Warga Emas dan juga Majlis Pelancaran Program Santunan Kasih.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Salbiah binti Mohamed (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan), Encik Aldrin Ng (Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK)), Professor Madya Dr. Syed Rahim Syed Hamid (Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak), Cik Nor Tipah binti Majin (Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak), Puan Nur Ramziyah Muhamad Halil (Timbalan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita), Puan Sarina binti Mohamed Mokhtar (Pengasas & Pengarah Perkhidmatan Syarikat, Sunshine Qualicare Sdn. Bhd) dan Encik Ahmad Zakuan bin Khairuddin (Timbalan Pengarah & Ketua Bahagian Jaringan Antarabangsa, Industri & Institusi, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak).
Kursus ini telah melibatkan seramai 44 peserta selama 5 hari bagi mendedahkan kepada para peserta berkenaan proses penuaan & masalah kesihatan warga emas dan kesihatan diri & keselamatan warga emas & penjaga dan nutrisi & Kawalan Jangkitan untuk Warga Emas & Penjaga dan pelbagai modul lain yang turut dipelajari. Tahniah diucapkan kepada para peserta yang telah berjaya mengikuti kursus yang dianjurkan pada kali ini. Diharapkan program ini mampu memberikan manfaat kepada para peserta yang melibatkan diri dalam kursus ini.
Bukan itu sahaja, majlis pelancaran Program Santunan Kasih – Ekosistem Penjagaan Warga Emas Negeri Perak turut dijalankan. Santunan Kasih Perak ini adalah hasil usahasama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan (Exco WAKEUP), Sekretariat Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak (SPW) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK). Ianya diselaraskan oleh Sunshine Qualicare Sdn Bhd, menyahut seruan kerajaan bagi organisasi-organisasi bukan kerajaan untuk melibatkan diri dalam sektor penjagaan yang semakin berkembang, khususnya dalam memastikan keperluan golongan warga emas yang semakin bertambah dapat dipenuhi.



