Rabu, 17 Januari 2024
Pihak Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah mengadakan program Pemetaan Kerjaya : Lawatan sekolah bersama murid-murid SMK Seri Muara, Bagan Datuk ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang melibatkan seramai 40 orang murid terdiri daripada murid tingkatan 3 & 4.
Acara pertama dimulakan dengan sesi perkongsian oleh Encik Firdaus (Ketua Unit Pelaksana) mengenai Pusat Aspirasi Anak Perak dan haluan kerjaya selepas tamat persekolahan. Seterusnya, pelajar dibawa melawat Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif dan pelajar-pelajar diberikan pendedahan berkaitan subjek seni kreatif oleh Ketua Jabatan serta pendedahan membuat anyaman, tenunan, pertukangan kayu , tembikar serta serba sedikit pengenalan mengenai fakulti tersebut.
Lawatan kedua diteruskan ke Perpustakaan Tuanku Bainun dan Muzium Pendidikan Nasional. Terdapat juga aktiviti explorace dijalankan bersama pelajar-pelajar SMK Seri Muara dan Kelab Sahabat Muzium.
PASAK amat berbesar hati atas Kerjasama pihak Himpunan Anak Darul Ridzuan (HADARI) UPSI dalam menjayakan program ini. Diharapkan program ini mampu membantu para pelajar yang terlibat dalam memilih kursus yang bersesuaian untuk mereka menyambung pelajaran seusai tamat alam persekolahan.
Pihak PASAK sangat terbuka untuk menjalankan program bersama pelbagai pihak dalam memberi manfaat kepada masyarakat.



