PASAK Perkasa TVET OKU Melalui Kursus Pembuatan Dessert dan Makanan Sejuk Beku Inklusif di Kamunting

Kamunting, 22 Mei 2026 – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus komited memperkukuh agenda pembangunan modal insan dan latihan kemahiran inklusif menerusi pelaksanaan Program TVET OKU apabila berlangsungnya Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Pembuatan Dessert “Sweet Future” dan Kursus Pembuatan Makanan Sejuk Beku Inklusif di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jana, Kamunting.

Program latihan kemahiran ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PASAK dalam memperluaskan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meningkatkan kemahiran, keyakinan diri dan kebolehpasaran peserta dalam bidang kemahiran serta keusahawanan.

Majlis penutup program telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Puan Jamilah Binti Zakaria, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), sebagai simbol sokongan berterusan terhadap pembangunan komuniti inklusif dan pemerkasaan bakat rakyat Negeri Perak.

Seramai 20 orang peserta OKU telah berjaya menamatkan kursus yang berlangsung selama tiga minggu, dengan menunjukkan komitmen, semangat serta usaha yang amat membanggakan dalam menguasai kemahiran berkaitan industri makanan.

Antara pengisian utama program termasuk:

🍰 Kursus Pembuatan Dessert “Sweet Future” – memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas penyediaan pencuci mulut serta kemahiran berkaitan industri makanan dan bakeri.

❄️ Kursus Pembuatan Makanan Sejuk Beku Inklusif – membimbing peserta dalam aspek penyediaan makanan sejuk beku, pengendalian makanan, kawalan kualiti serta asas potensi keusahawanan dalam industri makanan moden.

Program TVET OKU PASAK ini bukan sahaja membuka peluang pembelajaran kemahiran baharu, malah membantu peserta membina masa depan yang lebih berdikari, produktif dan berdaya saing melalui latihan berorientasikan industri.

Pelaksanaan program seperti ini selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, yang menekankan pembangunan bakat, pemerkasaan komuniti, pendidikan kemahiran serta pembangunan modal insan secara inklusif demi kesejahteraan rakyat Negeri Perak.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta atas kejayaan menamatkan kursus ini. Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan, keusahawanan serta pembangunan masa depan yang lebih cerah.

PASAK akan terus komited memperluaskan peluang latihan kemahiran TVET kepada seluruh lapisan masyarakat demi melahirkan komuniti yang lebih berkemahiran, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.