SOAL & JAWAB PASAK BERSAMA PERAK FM – KURSUS KEMAHIRAN INSANIAH (TVET) PASAK

Tarikh : 10/11/2020 (Selasa)
Penerbit : Nora Rahim
DJ Bertugas : Dj Finas

Bersama : Encik Zul Iskandar Shah bin Osman
Jawatan: Pengurus Projek PASAK

Topik: KURSUS KEMAHIRAN INSANIAH PASAK

 

Soalan:

1) Pada pandangan encik, apakah kepentingan agenda pembangunan kemahiran insaniah ini kepada masyarakat khususnya belia?

Kemahiran insaniah ini adalah ilmu berkaitan kemahiran hidup. Dengan adanya kemahiran, sebagai contoh kemahiran dalam membaik pulih jentera automotif, kita mampu gunakan kemahiran tersebut untuk kehidupan kita sendiri.

Sekiranya motosikal atau kereta kita rosak kita mampu membaikinya sendiri tanpa perlu bawa ke bengkel yang mungkin akan menelan kos yang tinggi. Malah kita juga dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah dengan kenderaan mereka.

Selain itu, dengan adanya kemahiran juga dapat membantu kita untuk membina kerjaya atau perniagaan sendiri. 9/10 rezeki di dunia ini adalah dari perniagaan. Jadi peluang dalam perniagaan ini sangat luas, tambahan jika kita ada kemahiran dan kepakaran yang tak semua orang miliki.

Perlu juga untuk kita fikirkan tentang supply and demand di dalam industri. Permintaan dan penyediaan peluang yang terdapat di luar sana. Peluang ada banyak di luar sana tapi terhad, manakala permintaan pula semakin hari semakin meningkat. Graduan semakin ramai yang berkelulusan tinggi, pelajar cemerlang akademik dan seumpamanya.

Antara cabaran yang paling besar belia zaman sekarang ada persaingan yang sengit. Persaingan untuk mendapatkan tempat dalam industri pekerjaan sangat kuat. Maka sesiapa yang ada kelebihan dan kemahiran, biasanya akan diutamakan untuk perjawatan tertentu.

Untuk itu, penting bagi golongan belia khususnya untuk persiapkan diri mereka dengan kemahiran tertentu bagi menjadikan mereka istimewa dan mampu memasarkan diri mereka dalam mana-mana sektor industri yang mereka ingin ceburi.

 

2) Boleh kongsikan, sejauh mana potensi atau peluang yang ada di pasaran industri semasa sekiranya golongan belia mempunyai tahap kemahiran yang baik dalam bidang tertentu? 

Dunia industri kita sedang mengalami evolusi dari dunia fizikal ke dunia digital. Dalam Revolusi Industri ke-4, kebanyakan industri telah mula berubah hampir sepenuhnya ke arah automasi dan pendigitalan atau lebih dikenali sebagai IoT (internet of things).

Kepakaran yang melibatkan kemahiran digital seperti pemkomputeran adalah sangat dikehendaki oleh pasaran semasa. Sebagai contoh seperti perniagaan digital, senireka grafik menggunakan komputer, robotik pembuatan, kereta pandu sendiri dan seumpamanya.

Ruangan industri ini memerlukan tenaga mahir yang ramai untuk mengoperasikan mesin-mesin berteknologi tinggi untuk tingkatkan produktiviti mereka.

Maka pentingnya untuk golongan belia khususnya untuk ada kemahiran yang bersesuaian dengan permintaan industri semasa untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dan mudah menempatkan diri dalam industri pelbagai bidang di luar sana.

 

3) Apakah tawaran daripada pihak PASAK sendiri dari segi penganjuran program-program latihan kemahiran? Siapakah golongan yang menjadi sasaran utama program latihan ini?

Program PASAK terdiri daripada program jangka pendek dan jangka panjang. Bagi program jangka panjang, sasaran program adalah pelbagai mengikut kesesuaian program. Ada program Eksplorasi Kampus untuk kumpulan mahasiswa, Jelajah Sekolah utnuk pelahar sekolah rendah dan menengah. Program Pemimpin Belia dalam kalangan belia dan program kemasyarakatan sasaran golongan bercampur khususnya warga emas.

Manakala program jangka pendek pula seperti Program Transformasi Tenagakerja (WORKPRO). Golongan yang menjadi sasaran program-program yang dianjurkan oleh PASAK terdiri dari pelbagai segmen umur. Bermula dari lepasan SPM sehinggalah warga emas masih layak menyertai program anjuran PASAK yang dirasakan bersesuaian. Namun, kami lebih memberi ruang kepada mereka yang terjejas akibat COVID ini seperti yang kehilangan pekerjaan, sedang mencari pekerjaan atau bakal dibuang kerja. Kebanyakan daripada mereka adalah golongan belia dan golongan veteran berusia 50 tahun dan ke atas. Mereka cenderung untuk sertai kursus seperti kulinari, pastri, urutan perbidanan dan menjahi seumpamanya.

Sekiranya golongan veteran ini dibuang kerja sebagai contoh telah bekerja di kilang selama 20, 30 tahun kemudian dibuang kerja. Sukar untuk mereka dapatkan pekerjaan yang lain atas faktor usia. Maka mereka perlukan kemahiran baru untuk bantu mereka teruskan kehidupan dengan menceburi bidang lain.

Golongan sasaran kedua adalah golongan belia yang baru mulakan pekerjaan dan terkesan akibat COVID. Program latihan kemahiran yang dianjurkan oleh PASAK telah memasuki Fasa kedua. Bagi Fasa Pertama terdapat pelbagai jenis bidang yang telah ditawarkan antaranya kursus pemasaran multimedia dan digital, animasi 3D, automotif, barbershop, teknologi rawaran air, urutan dan perbidanan yang telah melibatkan 402 orang peserta kursus.

Manakala Fasa Kedua ini dijangka akan melibatkan 1500 orang peserta untuk penawaran kursus kemahiran penyelenggaran penghawa dingin (aircond), kimpalan dan fabrikasi logam, kulinari, pastri, pengurusan tahfiz, pemasangan komputer, e-hailing dan pelbagai lagi.

4) Bagaimana dengan jangkaan hasil yang diharapkan oleh PASAK menerusi program latihan ini? Adakah ada perancangan yang berkesinambungan dengan usaha mengurangkan kadar pengangguran di negeri Perak?

Ya ada, kebanyakan program-program latihan ini dijalankan oleh penyedia-penyedia latihan yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang syarikat. Mereka mendaftar sebagai peyedia latihan dan mendapatkan penajaan daripada pihak kerajaan negeri di bawah program WORKRPO. Setiap penyedia latihan diberi bayaran mengikut jumlah penyertaan peserta dan peserta juga diberikan elaun selama tempoh latihan dijalankan.

Terdapat dalam kalangan penyedia latihan ini memberi jaminan pekerjaan kepada peserta yang terlibat. Setakat ini lebih daripada 200 orang daripada 402 orang telah berjaya mendapat penempatan dalam bidang pekerjaan selepas tamat sesi latihan kemahiran anjuran PASAK dan Perak Eclat TVET.

Kami menjangkan lebih ramai lagi yang akan menyertai program latihan kemahiran dan seterusnya membantu lebih ramai mendapat tempat dalam pasaran industri pekerjaan semasa di luar sana. In shaa Allah, PASAK telah membina banyak jaringan kerjasama dengan pelbagai sektor kerajaan dan swasta untuk mengenalpasti ruang dan peluang yang ada untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri Perak khususnya.

Ribuan jawatan kosong yang perlu diisi segera namun kita perlu lihat dari segi kesesuaian dan kelayakan pemohon itu sendiri. Sebagai persediaan, kemahiran tertentu perlu dikuasai untuk membolehkan para pencari kerja mudah untuk mendapat pekerjaan yang mereka inginkan.

 

5) Kata-kata akhir

Terima kasih kepada PERAK FM atas kesudian memberi ruang dan peluang kepada PASAK untuk berkongsi sedikit sebanyak berkaitan dengan kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan. Sangat penting sebenarnya info ini untuk diketahui oleh rakyat di negeri Perak. Inisiatif dan insentif daripada pihak kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Perkongsian hari ini perlu disebarkan kepada lebih ramai orang.

Layari Facebook PASAK, iaitu Pusat Aspirasi Anak Perak atau layari website www.perakpasak.org untuk ketahui info lanjut kursus kemahiran, program-program pembangunan modal insan dan pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan. Inshaa Allah semoga semua para pendengar sentiasa dalam keadaan sihat dan selamat. Patuhi SOP sebaik mungkin dan saling menjaga antara satu sama lain. Terima kasih semuanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*