RANCANGAN SEMBANG ANAK MUDA

Hari : Selasa
Tarikh : 1/12/2020
Waktu : 10.30 pagi
Penerbit : Nora Rahim
DJ Bertugas: Dj Finas
Fokus Rancangan : Pembangunan Belia / Teknologi
Nama Tetamu: AHMAD AFIFI BIN MOHAMMAD LOTFI
Jawatan: PENGURUS PERHUBUNGAN KORPORAT & KOMUNIKASI

Topik: UNJURAN MASA DEPAN TVET DI NEGERI PERAK

Soalan:
1) Pada pandangan encik, secara umumnya bagaimana untuk kita lebih memahami tentang Belanjawan 2021 yang telah dibahaskan di sidang parlimen?

Pertama sekali, diperingkat Pusat Aspirasi Anak Perak sebagai agensi kerajaan negeri, kami perlu sentiasa peka dan cakna mengenai perkara ini agar dapat menyesuaikan strategi pendekatan bagi memastikan manfaat yang diterima oleh rakyat lebih efektif dan efisyen.
Berkaitan dengan Belanjawan 2021 yang telah dibahaskan dalam sidang parlimen adalah, kita perlu memahami kerangka Belanjawan itu sendiri. Fokus utama Belanjawan ini adalah untuk menangani masalah penularan Covid-19, melindungi rakyat untuk kelangsungan hidup terutamanya golongan mudah terjejas dan memacu pertumbuhan ekonomi dalam negara. Belanjawan ini juga perlu realistik dan bukan populis.
Terdapat tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Untuk lebih memahami Belanjawan 2021 ini kita tidak boleh lihat dalam kerangka pemerhatian kecil, tetapi kita perlu lihat dalam konteks kerangka yang lebih luas dan menyeluruh bagi mengenalpasti konseptual asas yang membentuk belanjawan pada tahun 2021. Setiap belanjawan negara digubal berdasarkan dasar dan halatuju pentadbiran kerajaan yang memerintah. Sememangnya setiap kerajaan mempunyai kecenderungan dan fokus yang kadangkala agak berbeza bersesuaian dengan keperluan dan kehendak semasa.
Bagi memacu ekonomi negara, belanjawan menjadi elemen penting bagi memastikan kemajuan sesebuah negara dalam aspek ekonomi tanpa mengenepikan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Tambahan dalam keadaan sukar seperti sekarang, sangat penting pihak kerajaan memahami, denyut nadi rakyat yang sedang tertekan dan menderita akibat kesempitan hidup. Ada yang kehilangan pekerjaan, hilang punca mata pencarian, tidak cukup bekalan makanan dan seumpamanya.
Meskipun pelbagai insentif telah diberikan oleh pihak kerajaan, namun kita semua perlu setuju dan percaya bahawa insentif tersebut tidak mampu memberi jaminan bekalan kelangsungan hidup yang berterusan.
Oleh itu, agenda yang dibawa oleh Belanjawan ini adalah sangat penting, bagi memastikan ekosistem ekonomi, sosial, politik dan persekitaran dapat diseimbangkan. Dalam masa yang sama perlunya satu injection atau suntikan yang mampu melonjakkan ekonomi negara menerusi projek berimpak tinggi misalannya, untuk merangsang kitaran kewangan dalam negara dan menggalakkan pelaburan asing atau kita terpaksa berhadapan dengan cabaran defisit sekiranya tiada katalis atau pemangkin penjanaan ekonomi negara.
Maka, penting untuk kita semua telusuri bersama apakah manfaat yang bakal diperoleh oleh rakyat berdasarkan pembentangan dan perbahasan Belanjawan bagi tahun 2021 ini.

2) Boleh encik kongsikan, apakah inisiatif dan insentif daripada Belanjawan 2021 yang berkait rapat dengan agenda yang dibawa oleh PASAK?

PASAK memfokuskan kepada agenda pembangunan modal insan. Apa yang dapat kita fahami tentang pembangunan modal insan ini adalah usaha mengimbangi pembangunan fizikal seperti ekonomi yang berintensifkan ilmu pengetahuan, inovasi, teknologi yang merangkumi nilai, etika dan minda yang produktif serta penghayatan kepada makna kehidupan bertuhan yang sebenar. Termasuk juga pembinaan kerjaya, kemahiran, pendidikan yang mempunyai pelbagai golongan sasaran.
Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2021 tempoh hari, ada beberapa inisiatif dan insentif daripada pihak kerajaan Persekutuan yang berkait rapat dengan agenda yang dibawa oleh PASAK.
Antaranya adalah agenda pembangunan kerjaya untuk atasi masalah pengangguran dan TVET iaitu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional yang melibatkan Reskilling dan Upskilling serta jaringan kolaborasi antara agensi kerajaan dan swasta. Kerajaan akan memperkasa bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion secara keseluruhan.
Perutukan RM300 juta disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK. Kerajaan turut memperkenalkan Sistem Latihan Dual Nasional Plus dengan elaun bulanan dinaikkan daripada RM625 kepada RM1,000 untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan industri melaksanakan program berteraskan TVET.
Sebanyak RM29 juta juga diperuntukkan bagi melaksanakan program-program TVET di bawah KPT antaranya inisiatif pendidikan Islam dan pembelajaran sepanjang hayat kepada 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.
Selain terdapat beberapa insentif seperti peruntukan RM100 juta untuk program HRDF: Latihan secara usahasama dengan majikan sektor swasta sebagaimana yang sedang dijalankan oleh Jawatankuasa TVET Negeri Perak iaitu PASAK dan Perak Eclat TVET sekarang ini, di bawah program Transformasi Tenagakerjaya atau Workpro yang bakal membantu 1500 orang peserta latihan kemahiran dan kebanyakannya mendapat penempatan kerjaya. Bezanya Program Workpro ini merupakan inisiatif daripada pihak kerajaan negeri sendiri.

3) Apakah implikasi perlaksanaan Belanjawan 2021 ini kepada rakyat negeri Perak khususnya belia daripada pemerhatian encik?

Berdasarkan peruntukan Belanjawan 2021 ini, sememangnya sangat banyak peluang dan ruang yang akan dibuka kepada rakyat negeri Perak. Sama ada dari segi bantuan sara hidup, bantuan perniagaan, keusahawanan, pendidikan termasuk juga program latihan kemahiran.
Sebelum ini, akibat penularan COVID-19, banyak perbelanjaan kerajaan negeri tertumpu kepada membantu mereka yang terjejas. Pada asalnya peruntukan telah dibuat untuk melaksanakan agenda pembangunan lain, namun atas faktor desakan keperluan semasa. Banyak perbelanjaan terpaksa dikurangkan.
Namun, dalam Belanjawan 2021 ini kita dapat lihat keprihatinan pihak kerajaan persekutuan terhadap kepentingan membangunan modal insan dalam pelbagai aspek. Suntikan dana yang sangat besar misalannya untuk TVET itu tadi sebanyak RM 6 bilion. Maka semestinya makin banyak program latihan intensif dan insentif yang dapat diberikan kepada rakyat negeri Perak.
Semua ini dengan harapan dapat membentuk gelombang baru untuk memangkin semangat rakyat negeri Perak khususnya mereka yang terjejas akibat COVID-19, dengan adanya lebih banyak peluang pekerjaan, program latihan kemahiran, upskilling, reskilling sebagainya.
Manakala dalam konteks pembangunan kerjaya, peruntukan sebanyak RM700 juta untuk inisiatif MySTEP yang akan menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan GLC belum termasuk lagi RM1.5 bilion untuk pelanjutan Program Subsidi Upah selama 3 bulan lagi dengan lebih bersasar khusus bagi sektor pelancongan dan peruncitan dengan kadar RM600/bulan bagi pekerja bergaji RM4,000 ke bawah.
Jika sebelum ini dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM3 juta ringgit, kita dapat bantu lebih 1,500 orang yang terjejas akiabt COVID menerusi latihan kemahiran dan penempatan kerjaya. Maka jika kerjaan negeri menerima dana yang lebih banyak daripada peruntukan Belanjawan 2021 ini, in shaa Allah kita akan membantu lebih ramai rakyat negeri Perak di luar sana.
Saya percaya dengan belanjawan ini dapat memacu agenda pembangunan modal insan lebih terkehadapan dan lebih ramai penerima manfaat daripada inisiatif ini khususnya di negeri Perak.

4) Bagaimana pula dari segi bacaan unjuran encik untuk perubahan budaya hidup yang mungkin berlaku pada tahun hadapan impak dari perlaksanaan Belanjawan 2021 ini?

Kita sememangnya perlu bersedia dengan sebarang kebarangkalian yang akan berlaku terutamanya apabila berlakunya gelombang kedua COVID-19 ini. Kita boleh lihat begitu banyak pergolakan dan masalah yang berlaku apabila masyarakat berada dalam tertekan, terdesak dan sangat memerlukan bantuan.
Meski pun bukan secara menyeluruh, namun peratusan yang terjejas semakin meningkat, kadar pengangguran juga bertambah, penutupan sekolah dan universiti, penggerai tepi jalan yang tidak lagi dapat berniaga seperti biasa.
Berdasarkan Belanjawan 2021 ini, banyak inisiatif daripada pihak kerajaan yang memfokuskan kepada penjanaan peluang kerjaya dan ruang latihan kemahiran untuk menaiktaraf kualiti sumber manusia. Namun yang akan menjadi perhatian nanti adalah tentang kaedah perlaksanaan inisiatif itu sendiri.
Norma baru. Inilah yang dikatakan sebagai norma baru yang hakikatnya kita perlu terima, ubahsuai cara hidup dan kita bangkit bersama. Saya lihat Belanjawan 2021 ini dari segi fokusnya seimbang iaitu memfokuskan kepada pembangunan sumber manusia yang kompeten dan berkemahiran. Selain mewujudkan kelestarian antara pertumbuhan ekonomi, alam sekitar dan sumber tenaga manusia terlatih.
Keduanya adalah dalam aspek komunikasi. Kita akan bergerak ke arah digitalisasi yang akan merangkumi lebih banyak aspek. Interaksi sosial sebelum ini secara bersemuka kita akan bergerak ke arah live streaming, online meeting, discussion sebagainya.
Begitu juga dalam urusan transaksi kewangan, yang bergerak ke arah cashless dengan adanya e-wallet sebagaimana yang ditekankan oleh pihak kerajaan menerusi penyaluran bantuan kewangan dalam bentuk digital bagi memberi bantuan secara bersasar kepada rakyat Malaysia. Sejumlah RM75 juta peruntukan untuk Program eBelia: Kredit RM50 one-off ke dalam akaun e-wallet mereka yang berumur 18-20 tahun untuk membudayakan ekonomi tanpa tunai.
Di PASAK sendiri, telah mula temuduga dijalankan secara online antara calon dan syarikat. Lebih 600 orang calon temuduga yang berdaftar untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat kerjasama PASAK. Program latihan kepimpinan belia negeri Perak anjuran PASAK juga telah berlangsung secara online beberapa siri yang melibatkan lebih 500 orang peserta yang komited. Terdapat banyak lagi gaya komunikasi baru yang menggantikan gaya hidup biasa kita sebelum ini.
Kita semua perlu belajar dan menyesuaikan dengan gaya hidup sekarang untuk memastikan kita tidak ketinggalan dan dapat mengakses informasi terbaru dengan lebih efektif dan efisyen.

5) Kata-kata akhir Terima kasih kepada PERAK FM atas kesudian memberi ruang dan peluang kepada PASAK untuk berkongsi sedikit sebanyak berkaitan dengan implikasi Belanjawan 2021 terhadap agenda pembangunan TVET di negeri Perak.

PASAK sebagai agensi di bawah Jawatankuasa TVET Negeri Perak memandang positif Belanjawan 2021 yang dibentangkan. Perbahasan diperingkat sidang parlimen adalah perlu kita ikuti bersama agar usaha ubahsuai dan penambahbaikan agenda kerajaan dapat berjalan dengan lancar. Paling penting, agar nasib rakyat terus terbela dan kita bina semula negara bersama.
Untuk ketahui info lanjut kursus kemahiran, program-program pembangunan modal insan dan pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan, boleh Layari Facebook PASAK, iaitu Pusat Aspirasi Anak Perak atau layari website www.perakpasak.org. Inshaa Allah semoga semua para pendengar sentiasa dalam keadaan sihat dan selamat. Patuhi SOP sebaik mungkin dan saling menjaga antara satu sama lain. Terima kasih semuanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*