PROGRAM TRANSFORMASI TENAGAKERJA (WorkPro) INISIATIF ATASI PENGANGGURAN DI NEGERI PERAK

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Fasa ke-2 yang telah diumumkan pada bulan Jun 2020, Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan pelaksanaan Program Transformasi Tenagakerja (Work-Pro) dengan sasaran seramai 1,500 peserta bermula Jun sehingga Disember 2020 dalam membantu pekerja terkesan yang kehilangan pekerjaan atau bakal diberhentikan akibat penularan wabak Covid-19.

Program Transformasi Tenagakerja adalah salah satu inisiatif daripada Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa TVET Negeri Perak yang dipengerusikan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, Menteri Besar Perak. Agenda ini diterajui oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) iaitu agensi kerajaan negeri Perak di bawah portfolio Yang Berhormat Tuan Hj Razman Zakaria dan Perak Eclat TVET.

Usaha digiatkan untuk membantu mengatasi permasalahan kelompok yang terkesan akibat dampak COVID-19, menerusi perlaksanaan tiga (3) kategori program iaitu Latihan Peralihan Tenaga Kerja (Reskilling), Latihan Pengekalan Tenaga Kerja (Add on Skills) dan Latihan Peningkatan Kemahiran (Upskilling).

Skim latihan ini dikhususkan kepada mereka yang telah terjejas akibat dampak COVID-19 seperti telah diberhentikan kerja, pencari pekerjaan dan mereka yang bakal diberhentikan kerja. Melalui skim ini, peserta akan menjalani latihan jangka pendek minimum selama satu bulan dengan menerima elaun sebanyak RM500.00 seorang.

Kebanyakan program latihan yang ditawarkan ada yang memberi jaminan kerjaya kepada peserta yang tamat sesi latihan. PASAK turut menjalin hubungan dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi mengetahui peluang dan ruang kolaborasi untuk menempatkan peserta-peserta program ini di dalam mana-mana syarikat berpotensi yang menawarkan peluang pekerjaan.

Sehingga kini, seramai 402 orang peserta telah tamat menjalani kursus jangka pendek melibatkan 15 jenis kursus bagi fasa-1 bermula sejak Jun sehingga Oktober 2020. Antara kursus yang ditawarkan seperti, kursus penyelenggaraan automotif, kimpalan, elektri dan penyaman udara, kursus animasi 3D, pemasaran digital, gunting rambut (barber), urutan tradisional dan pemandu pelancong, pengurusan makanan sejuk beku dan pelbagai lagi.

Bagi Fasa ke-2, program ini akan bermula pada bulan Oktober sehingga Disember 2020 meliputi 30 jenis kursus baru yang mempunyai permintaan tinggi daripada pekerja-pekerja terkesan dan juga dibuka kepada penganggur dalam kalangan pencari kerja lepasan IPT, lepasan sekolah, pesara tentera dan kumpulan B40 serta ibu tunggal. Penyertaan bagi fasa ke-2 bakal melibatkan seramai 1,098 orang peserta seluruh Perak.

Kursus-kursus yang dilaksanakan ini bertujuan memberi tambah nilai iaitu ‘skills to survive’ kepada peserta dalam menghadapi impak pandemik ini dengan kemahiran yang boleh digunakan bagi memperoleh pendapatan seperti mengaplikasikan latihan yang diberikan untuk mewujudkan pekerjaan/perkhidmatan contohnya perkhidmatan gunting rambut rumah ke rumah (mobile barber), penjagaan dan urutan wanita selepas bersalin yang mempunyai permintaan yang tinggi (mama care), pembuatan pastri (home made bakery) dan dihantar kepada pelanggan melalui penghantaran “e-hailling” dan beberapa jenis perkhidmatan lain yang boleh diwujudkan melalui manfaat kemahiran yang diperoleh hasil daripada latihan yang diberikan.

Diharapkan menerusi program ini dapat membantu mereka yang sangat terkesan akibat COVID-19 serta dapat meningkatkan kredibiliti modal insan di negeri Perak.

Info lanjut berkaitan Program Transformasi Tenagakerja ini boleh layari laman sesawang https://perakpasak.org/workpro/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*