PELANCARAN TVET ISLAMIK – TEKNOHAFIZ NEGERI PERAK



IPOH – 23 JULAI 2020, 8.30 PAGI

Matlamat Pelancaran TVET Islamik atau dikenali sebagai TEKNOHAFIZ adalah bagi memberi pendedahan awal kepada pengusaha-pengusaha pusat tahfiz tentang inisiatif pihak kerajaan dalam menerapkan aspek latihan kemahiran dalam silibus pengajaran di pusat tahfiz.

 

 

Program ini merupakan inisiatif rentas portfolio antara Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, YB Tuan Hj Razman Zakaria bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, YB Ustaz Mohd Akmal Hj Kamarudin.

TEKNOHAFIZ ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Perak dan digerakkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai sekretariat.

Pelancaran TEKNOHAFIZ ini dihadiri oleh 83 buah pusat tahfiz di negeri Perak, serta institut latihan kemahiran seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), GIATMARA, RISDA, Institut Kemahiran MARA dan Kolej Komuniti Sungai Siput yang mewakili semua cawangan yang terdapat di negeri Perak.

 

 

Program ini juga memberi penerangan menerusi pembentangan daripada institusi – institusi latihan kemahiran kepada pengusaha pusat tahfiz berkaitan lebih 300 jenis penawaran latihan kemahiran pelbagai bidang.

Kesinambungan dari pelancaran program TEKNOHAFIZ ini, jalinan kolaborasi akan diperkasa menerusi penyelarasan dari pihak PASAK yang akan menghubungkan antara institusi latihan kemahiran dengan pusat-pusat tahfiz.

Motif utama penyelarasan adalah untuk membangunkan modul latihan komprehensif dengan menerapkan skim latihan kemahiran dalam sistem pengajaran sekolah tahfiz sedia ada.

Perkara ini penting agar penyesuaian modul latihan dapat diterapkan tanpa mengganggu fokus utama pengajaran pusat tahfiz itu sendiri iaitu hafalan Quran dan pengajian kitab.

Dengan harapan generasi huffaz dapat dilahirkan yang bukan sahaja kemas ilmu Agamanya, malah juga mempunyai nilai tambah ilmu kemahiran yang tersendiri.

Di samping, menjadikan mereka mampu bersaing dalam pasaran kerjaya pada masa akan datang.

Mencari dan mencipta lebih banyak peluang apabila mereka menempatkan diri dalam kelompok masyarakat kelak. Tidak terhad di pusat tahfiz, surau atau masjid sahaja. Malah mungkin saja akan lahirnya pentadbir negara dan ahli profesional yang dilatih sejak di pusat tahfiz lagi.

Pelancaran ini dirasmikan oleh YB Tuan Hj Razman Zakaria dengan tema “Ke Arah Melahirkan Huffaz Profesional”.

#TVETIslamik#TEKNOHAFIZ#PASAKPerak#PerakBebasCovid#StayAtHome#KitaJagaKita#MalaysiaPerangiCOVID19#PakejRansanganEkonomi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*