MESYUARAT PERBINCANGAN SKIM PENGEKALAN TENAGAKERJA ( WRS ) BERSAMA PENYEDIA LATIHAN

IPOH – 7 OGOS 2020, 10.00 PAGI

Barisan ahli mesyuarat yang telah dihadiri oleh wakil PASAK selaku sekretariat Jawatankuasa TVET Negeri Perak dan, wakil dari Perak Eclat TVET (PET). Seterusnya, wakil-wakil daripada para penyedia Latihan bagi program Skim Pengekalan Tenagakerja iaitu Cikgu Yusof Aji dari Noble School of Engineering, Puan Hajjah Suriyani binti Haji Sadri dari IGB Training and Consultancy, dan Encik Edward dari PFEIA Proweld Training Centre, serta Encik Hazizul bin Hanafiah dan Encik Davin yang juga wakil dari PFEIA Proweld Training Centre telah hadir ke mesyuarat hari ini.

Perbincangan yang menjurus kepada konsep WRS adalah bertujuan bagi mengekalkan pekerja serta membantu pihak majikan untuk terus mengekalkan pekerja dalam tempoh 3 bulan. Kaedah latihan sambil bekerja akan diperkenalkan kepada pekerja yang bakal terjejas atau mempunyai risiko diberhentikan di dalam industri terkesan.

Di samping itu, latihan yang dijalankan dalam tempoh masa 3 bulan ini akan melatih pekerja di dalam sektor yang terkesan kepada kemahiran lain (Add-On Skills) yang akan dilatih di dalam industri berkenaan. Latihan yang akan diberikan adalah bertujuan untuk membantu pekerja yang terjejas atau berisiko kehilangan pekerjaan di samping membantu majikan mengurangkan kos bayaran gaji pekerja dalam pusingan operasi perniagaan.

Proses profiling akan dijalankan dalam mengenalpasti minat & kecenderungan pekerja terhadap kemahiran yang ingin dibangunkan. Latihan akan dijalankan mengikut modul yang telah ditetapkan dan pada masa yang sama pekerja masih kekal dengan pekerjaan mereka . Tarikh untuk bermulanya program tersebut adalah pada 17 Ogos 2020 (Isnin).

Penyedia latihan untuk program tersebut merupakan penyedia latihan yang telah terpilih setelah mengikut kesesuaian & ketepatan daripada aspek kursus, tempoh kursus dijalankan serta kriteria lain. Sijil yang dikeluarkan setelah tamat latihan tersebut adalah diiktiraf di peringkat Negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*