MAJLIS PELANCARAN PROGRAM KERJAYA TAHUN 2021

Ipoh – 30 Mac 2021, 10.00 pagi
Majlis Pelancaran Program Kerjaya Tahun 2021 telah disempurnakan oleh YB Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Antara program yang dilancarkan adalah Sesi Temuduga Pekerjaan Mingguan bersama Industri, Program Temuduga di peringkat Daerah dan Negeri dan Karnival Kerjaya Maya khusus kepada mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan di dalam Negeri Perak. Objektif program ini adalah sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan di dalam Negeri Perak. Antara program yang dilancarkan adalah Sesi Temuduga Pekerjaan Mingguan bersama Industri, Program Temuduga di peringkat Daerah dan Negeri dan Karnival Kerjaya Maya. Selain itu, Jelajah Skuad Ronda Moh Kroje juga merupakan program Kerajaan Negeri dalam usaha untuk mendekati dan membantu para pencari kerja di kawasan bandar dan luar bandar dengan cara mendaftar sebagai pencari kerja dan seterusnya menyerahkan maklumat mereka kepada syarikat-syarikat di dalam Negeri Perak.
Pemerkasaan agenda TVET merangkumi pelbagai lapisan masyarakat juga diteruskan dengan inisiatif Latihan Modular Kemahiran TVET seperti latihan peningkatan kemahiran ‘reskilling’ dan latihan semula ‘reskilling’ serta Kursus TVET OKU.
Majlis ini juga bertujuan untuk melancarkan slogan Program Kerjaya tahun 2021 iaitu #GERAK iaitu singkatan bagi ‘Gerbang Kerjaya Kome’. Slogan baharu ini akan membawa satu nilai komersial dan memberi satu ekspresi baru daripada PASAK kepada masyarakat khususnya di negeri Perak. Di samping itu, majlis ini juga telah melantik Ikon Kerjaya OKU dan Pertanian Negeri Perak sebagai Duta Kerjaya Negeri Perak. Norfarrah Syahirah Binti Shaari merupakan anak kelahiran Bagan Datuk dilantik sebagai Ikon Kerjaya OKU PASAK, Hal ini kerana ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19, beliau turut membantu menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE), beliau juga aktif sebagai penceramah jemputan di sekolah. Bagi Ikon Kerjaya Pertanian pula, Muhammad Muizzudin Bin Din dilantik atas usaha beliau berbakti kepada tanah sehingga menjadi seorang Agropreneur Muda. Ikon- ikon yang dilantik ini akan
menjadi suri teladan bagi masyarakat di negeri Perak mengikuti jejak mereka dan menjadi figura yang berjaya kelak. Lantikan Ikon Kerjaya Negeri Perak ini berdasarkan kriteria-kriteria khusus dan kejayaan mereka mengharumkan nama Negeri Perak dalam pelbagai peringkat dan bidang.
Seterusnya, Kerajaan Negeri juga menghargai usaha sama Rakan Strategik yang telah berkolaborasi bersama PASAK dalam usaha meningkatkan produktiviti tenaga kerja terlatih di Negeri Perak. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memberi pengiktirafan Rakan Strategik kepada Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), PERKESO, The Perak Foundry and Engineering Industries Association (PFEIA), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Pendekatan kolaborasi secara menyeluruh ini diharap akan membawa satu impak yang besar kepada sosioekonomi Negeri Perak dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir adalah YB Datuk Dr Wan Norashikin Binti Wan Noordin (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat), dan Tuan Haji Misbahul Munir Bin Masduki (Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK)).
Kerajaan Negeri amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh pencari kerja terutamanya di Negeri Perak dalam situasi pandemik Covid-19 Justeru, usaha-usaha yang dilaksanakan ini diharap dapat membantu masyarakat negeri Perak untuk meningkatkan produktiviti dan memacu pertumbuhan ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Terima kasih juga kepada Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Rakan Kerjasama, Media dan Rakan Industri yang telah memeriahkan Majlis Pelancaran Program Kerjaya Tahun 2021 ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*