Lawatan tapak ke industri perkilangan getah dan jahitan di sekitar Ipoh

IPOH – 26 OGOS 2020, 10.00 PAGI

Pandemik Covid-19 telah memberikan impak yang besar kepada syarikat-syarikat bukan sahaja di seluruh Malaysia malah di serata dunia. Syarikat-syarikat yang tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telah mengalami kerugian yang besar. Keadaan ini telah membawa kepada peningkatan kadar pengangguran seterusnya memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negara. Terdapat juga syarikat-syarikat yang terpaksa gulung tikar walaupun telah beroperasi lebih 20 tahun.

Pihak Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah menjalankan perbincangan dengan industri getah bersama Eversafe Rubber Sdn Bhd dan Kinta Rubber Works Sdn Bhd. Pertemuan PASAK dengan bahagian sumber manusia Eversafe Rubber Sdn Bhd, Miss Leong membawa kepada perbincangan bagi mendapatkan pekerja tempatan yang ingin berkhidmat di kilang tersebut. Manakala, hasil perbincangan yang telah dijalankan bersama Pengarah Urusan Kinta Rubber Works Sdn Bhd, Mr Yeoh memberikan ruang dan peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengupas masalah-masalah yang berlaku dalam industri getah khususnya di Perak.

Perbincangan bersama sebuah syarikat jahitan iaitu bersama Venyrma Apparel Clothing telah membuka peluang kerjasama antara kedua kedua pihak. Venyrma telah diberikan kepercayaan untuk mengeksport kelengkapan PPE ke Amerika Syarikat. Oleh itu, Venyrma melalui wakilnya, En Ahmad Amirul telah menerangkan keperluan syarikat yang memerlukan pekerja mahir atau separa mahir dalam bidang jahitan. Ini akan membuka peluang pekerjaan baru kepada warga Perak, khususnya di kawasan Ipoh.

Perbincangan yang dijalankan ini diharapkan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang masih menganggur dan sedang mencari peluang-peluang kerjaya. Diharapkan dengan adanya perbincangan antara pihak PASAK dan industri-industri ini akan memberi maklum balas yang positif dalam usaha mempertingkatkan keadaan ekonomi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*