LAWATAN PEMANTAUAN KE PROGRAM TVET OKU

IPOH- 15 MAC 2021, 10.00 PAGI
Pihak Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah membuat lawatan pemantauan ke IGB Training Centre bagi Kursus Refleksologi dan WMF Solution bagi Kursus Suntingan Gambar dan Video serta Pemasaran Secara Online.
Wakil PASAK telah dihadiri Unit TVET PASAK iaitu Cik Asyikin dan Cik Jannah. Program diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Dr. Muhammad Amin bin Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Batu Kurau yang sudi membawakan Muhamad Shahrizal Bin Ismail salah seorang peserta orang kurang upaya daripada daerah Larut Matang & Selama (LMS) bagi kategori penglihatan yang telah mendaftar bagi mengikuti Kursus Refleksologi.
PASAK yang berperanan sebagai agensi milik penuh kerajaan Negeri Perak dan merupakan sekretariat Jawatankuasa TVET Negeri Perak amat mengambil maklum mengenai inisiatif pihak kerajaan Negeri Perak dalam menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU.
Antaranya adalah dengan melaksanakan Program Technical And Vocational Education And Training (TVET) kepada golongan kelainan upaya (OKU) yang terletak di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Fasa 5. Inisiatif ini juga adalah bagi kesaksamaan hak dan peluang kepada golongan OKU yang meliputi penyertaan penuh dalam masyarakat bagi membolehkan mereka hidup berdikari pada masa hadapan kelak.
Diharapkan dengan latihan kemahiran yang disediakan kepada golongan OKU ini dapat memberikan maklum balas yang positif kepada mereka selari dengan usaha PASAK untuk menjayakan matlamat dan hasrat kerajaan Negeri bagi menjamin kesejahteraan golongan OKU di Negeri Perak khususnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*