LAWATAN PASAK KE PUSAT LATIHAN LAMBOR, BOTA

LAMBOR – 07 DISEMBER 2020, 2.30 PETANG
PASAK yang diwakili oleh Encik Fikri, Encik Zul Iskandar, dan Cik Jannah telah melakukan kunjungan dan lawatan tapak di sekitar Pusat Latihan Lambor yang merupakan sebuah pusat latihan di bawah kelolaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).
Pusat Latihan yang terletak di mukim Lambor Kiri, Bota Kiri ini mempunyai pelbagai program berbentuk kemahiran keusahawanan. Antaranya, penanaman cili fertigasi, nanas, penternakan ayam kampung, dan pelbagai lagi. Program latihan adalah berbentuk pertanian dan penternakan moden.
Di samping itu, skop kemahiran pemanduan juga turut ditawarkan di sini. Program tersebut dinamakan kursus Mekanisasi dan Pemanduan Traktor dan Backhoe.
Encik Asnoul, Penolong Pengurus Unit Pusat Latihan yang juga merangkap penyelaras program latihan telah menyampaikan taklimat berkaitan pusat latihan ini.
Turut berada bersama dalam taklimat tersebut adalah Encik Syed Aris, Pengurus Unit Korporat Sosial, Encik Hairi, Encik Zakri, dan Puan Roslindawati serta beberapa tenaga pengajar di pusat latihan.
Selepas sesi taklimat tamat, pihak PASAK telah dijemput ke Dewan Kompleks Sungai Galah dan Encik Fikri selaku Pengurus Besar PASAK telah menerangkan latar belakang dan fungsi PASAK sebagai salah sebuah agensi di bawah kerajaan Negeri Perak kepada 50 orang peserta program yang hadir bagi kursus teori di dewan tersebut. Encik Fikri juga sempat berinteraksi dan soal jawab bagi peserta yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan PASAK.
Seterusnya, PASAK telah berkunjung ke tapak cili fertigasi dan penanaman nanas yang merupakan kategori di bawah pertanian moden. Pihak PASAK juga berkesempatan untuk melihat kawasan sekitar yang mana terdapatnya asrama peserta, kelas untuk modul berbentuk teori, dan kawasan sekitar Sungai Galah serta Lambor Kanan untuk peserta program menjalankan latihan praktikal mereka.
Perancangan jalinan kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak di masa akan datang pasti memberi manfaat kepada golongan sasaran dan rakyat negeri Perak khususnya golongan asnaf, ibu tunggal, OKU, dan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 di samping untuk kejayaan pembangunan pertanian di negeri Perak itu sendiri.
Mudah-mudahan usaha ini mendapat sambutan agar lebih ramai yang berkecenderungan untuk menceburkan diri dalam bidang kemahiran keusahawanan di negeri Perak.
Siti Nor Jannah
Eksekutif Unit TVET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*