KUNJUNGAN KERJASAMA PASAK DENGAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI PERAK

IPOH – 4 NOVEMBER 2020

Pendidikan sebagai nadi pembangunan masyarakat. Di bawah portfolio Exco Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Tuan Hj Razman Zakaria, salah satunya adalah sektor pendidikan.
Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) merupakan agensi kerajaan di bawah YB Exco yang berperanan menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan masyarakat di negeri Perak.
Antara program yang dijalankan oleh PASAK berkaitan pendidikan adalah seperti Explorasi Kampus dan Program Pemetaan Kerjaya di beberapa buah IPT dan sekolah di negeri Perak.
Program berorientasikan pendidikan ini lebih kepada mendedahkan para pelajar kepada peluang dan ruang yang mereka boleh dapatkan selepas tamat belajar.
Antaranya berkaitan skim latihan kemahiran daripada pihak kerajaan negeri, biasiswa dan bantuan pendidikan, program-program keusahawanan serta hala tuju bagi menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Kunjungan kali ini lebih kepada ingin membina kerjasama dengan lebih erat bersama JPN terutamanya dalam merancang dan melaksanakan program-program yang melibatkan sekolah-sekolah di negeri Perak.
PASAK memfokuskan kepada perlaksanaan program latihan kemahiran jangka pendek kepada pelajar-pelajar aliran sastera, vokasional dan pencapaian akademik yang rendah.
Berkemungkinan pelajar-pelajar ini cenderung kepada aktiviti dan kemahiran lain. Bagi membuka peluang kepada mereka untuk turut sama berjaya, adalah bersesuaian untuk mereka sertai program latihan yang bakal dijalankan oleh PASAK selepas tempoh kawalan pergerakan ini reda dan selamat.
Banyak insentif daripada pihak kerajaan negeri untuk membantu para pelajar di peringkat sekolah lagi, bagi membentuk budaya fikir lebih jauh dan matang dalam merancang kehidupan mereka menerusi peningkatan pencapaian akademik dan kemahiran insaniah.
Sejajar dengan aspirasi JPN sendiri yang ingin memastikan anak didik di semua sekolah dan institusi pendidikan semuanya berjaya dan dapat menjadi manusia yang bermanfaat pada masa akan datang.
Maka dengan itu, pihak PASAK sangat berbesar hati dan akan terus komited melaksanakan tanggungjawab bagi membantu mendidik dan mendorong generasi muda di negeri Perak agar terus maju kehadapan demi membangunkan agama, bangsa, negeri dan negara tercinta ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*