KERJASAMA JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA PERAK (DOSM) DAN PUSAT ASPIRASI ANAK PERAK (PASAK)

IPOH – 12 OGOS 2020, 10.30 PAGI

Kunjungan Muhibbah dari DOSM ke PASAK bagi membincangkan kerjasama mengenai pencarian Penyelia dan Pembanci dalam kalangan rakyat negeri Perak yang berkelayakan. Perbincangan ini diwakili oleh Pengarah DOSM Cawangan Negeri Perak, Puan Rafliza binti Ramli dan delegasi, bersama Pengarah PASAK Tuan Hj Misbahul Munir Masduki.

Proses bancian ini akan mula pada 7 Oktober 2020 sehingga 24 Oktober 2020. Pencarian penyelia dan pembanci ini sangat penting bagi memastikan operasi bancian di negeri Perak dapat dijalankan dengan lancar kerana melibatkan kawasan yang besar dan sasaran penduduk di negeri Perak yang sangat ramai.

Keseluruhan bancian di Perak akan melibatkan 800 ribu rumah di 12 daerah serta seramai 9585 orang pembanci serta penyelia diperlukan. Justeru, pihak DOSM memerlukan tenaga kerja yang ramai bagi mengisi kekosongan penyelia dan pembanci bagi melaksanakan operasi ini.

PASAK melihat kehadapan ruang dan peluang yang ada bagi membantu mereka yang masih menganggur untuk menjadi Pekerja Sambilan Harian (PSH) dan membantu DOSM menjalankan bancian di seluruh negeri Perak. Bancian ini mempunyai 2 peringkat iaitu melalui e-census (atas talian) dan secara bersemuka di lapangan.

Hebahan lanjut berkenaan tatacara bagi memohon untuk menjadi penyelia dan pembanci akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat. Kerjasama antara DOSM dan PASAK ini diharapkan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka khususnya yang terjejas akibat COVID19 dan yang masih menganggur. Terbuka juga kepada mereka yang ingin menjana pendapatan sampingan dengan berdaftar sebagai penyelia dan pembanci pada sesi kali ini. Elaun dan insentif menarik menanti mereka yang berdaftar dan menjadi jentera bancian yang berada di lapangan.

Demi negara, kami sedia khidmat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*