KERJASAMA IKDAR – PASAK MEMARTABATKAN INSTITUSI TAHFIZ TEKNOKRAT DI NEGERI PERAK

Usaha penambahbaikan institusi pendidikan Tahfiz dan aliran profesional kini sudah tidak asing lagi. Jika dahulu pelajar lepasan aliran tahfiz banyak tertumpu kepada kerjaya sebagai seorang Ustaz atau ilmuan bidang agama sahaja.

Tetapi kini, aliran tahfiz telah menerobos ruang lingkup pendidikan moden yang beringtegrasi dengan aliran pendidikan kemahiran dan profesional.

Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) merupakan institusi swasta yang menawarkan beberapa kursus pengajian peringkat tinggi kepada pelajar lepasan institusi tahfizan dan madrasah tahfiz Malaysia sama ada dari aliran perdana atau tidak.

Selain itu, IKDAR berperanan membuka peluang dan ruang kepada mereka yang mempunyai pencapaian akademik yang sederhana untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi seperti PhD.

Usahanya lebih kepada melahirkan generasi teknokrat yang terdiri daripada graduan yang mempunyai latarbelakang agama yang tulen sama ada hafalan Al Quran 30 Juzuk mahupun mahir dalam cabang ilmu agama yang lain seperti Hadis dan pengajian kitab.

Seperti yang diketahui ramai, kebanyakan pelajar lepasan aliran tahfiz terutamanya dari institusi swasta juga mempunyai sijil penamatan belajar sama ada tamat hafalan 30 juzuk atau pengajian kitab.

Namun majoriti daripada sijil tidak diiktiraf di dalam sistem pendidikan arus perdana. Kesannya mereka tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam institusi pendidikan awam.

Lebih bermasalah apabila pelajar tersebut juga tidak mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mewajibkan lulus matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Maka di sinilah perlunya inisiatif yang diusahakan oleh pihak IKDAR yang menawarkan beberapa kursus pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Meski pun pelajar lepasan institusi tahfiz atau madrasah yang tidak mempunyai sijil SPM juga masih boleh mendapat tempat menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

PASAK membawa mandat daripada pihak kerajaan negeri, yang memainkan peranan penting sebagai agensi pembangunan modal insan, untuk merancang strategi penyelarasan dalam aspek pembangunan taraf pendidikan, kemahiran rakyat di negeri Perak bagi memenuhi keperluan pasaran industri dan masyarakat setempat.

Pelbagai lagi program berimpak tinggi bakal dilaksanakan tidak lama lagi melibatkan kerjasama PASAK dengan pelbagai pihak demi kepentingan rakyat di negeri tercinta ini.

Kunjungan PASAK ke IKDAR kali ini telah membuka mata banyak pihak tentang masa depan pelajar aliran tahfiz yang lebih jauh dan cerah pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*