FGD PASAK BERSAMA UM BERKAITAN KAJIAN PELAKSANAAN TEMPOH PENGAJIAN PROGRAM SARJANA MUDA SAINS SOSIAL DI UNIVERSITI AWAM

PASAK telah dijemput dalam ruang diskusi bagi membincangkan Kajian Pelaksanaan Tempoh Pengajian 3 Tahun Bagi Program Sarjana Muda Bidang Sains Sosial di Universiti Awam (UA) sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Dalam usaha untuk melaksanakan transformasi ini, pihak KPT berhasrat untuk mendapatkan pandangan dan input daripada pelbagai pemegang taruh.
Focus Group Discussion (FGD) ini merupakan inisiatif dari Kementerian PengajianTinggi (KPT) untuk mendapatkan maklum balas dari pemegang taruh tentang kesesuaian melaksanakan perubahan tempoh pengajian dari 4 tahun kepada 3 tahun bagi program Sarjana Muda bidang Sains Sosial di Universiti Awam (UA).
Maklumbalas ini akan membantu para penyelidik memahami penerimaan pihak pemegang taruh terhadap perubahan tempoh pengajian tersebut.
PASAK diwakili oleh Encik Ahmad Afifi bin Mohammad Lotfi, Pengurus Perhubungan Korporat telah memberi beberapa pandangan mengenai isu perbincangan tersebut.
Diskusi ini juga melibatkan beberapa lagi pihak NGO, Rakan Media, Agensi Swasta dan Kerajaan.
Pelbagai pandangan diutarakan bagi mencari rasionalisasi, pro dan kontra apabila tempoh pengajian yang sedang dilaksanakan sekarang adalah 4 tahun. Selain berbincang mengenai wajaran serta implikasi sekiranya tempoh dipendekkan menjadi 3 tahun.
Pandangan daripada semua agensi jemputan telah mengupas isu dalam beberapa faktor, antaranya dari segi penerimaan dan harapan dari industri atau agensi swasta terhadap kualiti graduan yang dilahirkan.
Hal ini penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan menepati kriteria atau kehendak pasaran industri semasa bagi memastikan kebolehpasaran kerjaya graduan selepas tamat pengajian.
Selain itu, faktor proses pembentuan dan pendidikan graduan itu sendiri, kebanyakan agensi jemputan memberi pandangan tentang penekanan daripada pihak universiti sendiri terutamanya dalam aspek memberi pendedahan kepada pelajar tentang realiti sebenar.
Antaranya dalam aspek komunikasi, kepimpinan, pengurusan, keusahawan dan pelbagai lagi. Hal ini penting agar, graduan dapat mengadaptasi ilmu dan kemahiran mereka apabila telah berada dalam pasaran industri yang persaingannya semakin sengit sekarang ini.
Tempoh pengajian ini sangat penting bagi memastikan para pelajar mempunyai masa yang cukup untuk belajar tentang teori pengajian dan terlibat secara langsung dalam penganjuran program sama ada penganjuran sendiri atau kerjasama dengan pihak luar bagi menambah pengalaman.
Bahasa mudahnya, experiental learning atau pembelajaran berasaskan pengalaman. Misalannya pelajar diminta untuk melaksanakan projek atau program secara praktikal selepas mempelajari teori sesuatu cabang ilmu. Justeru, mereka dapat belajar dan aplikasikan ilmu mereka dalam realiti sebenar.
Antara perkara penting yang perlu difikirkan dalam tempoh pengajian 3 tahun atau 4 tahun ini juga, adalah pengisian di dalamnya, bukan kerana ingin memendekkan tempoh pengajian bagi penjimatan kos sahaja semata-mata.
Tidak relevan jika tempoh panjang tapi pengisiannya kurang memberangsangkan dalam melahirkan graduan berkualiti dan berkredibiliti tinggi.
Tidak relevan juga jika tempoh pendek sehingga menyebabkan perkembangan ilmu dan kemahiran para pelajar terbantut dan menyukarkan mereka bersaing selepas tamat pengajian akibat kurang pendedahan tentang program dan perkaitannya dengan keperluan industri semasa.
Malah perlu dipertimbangkan dari segi kebarangkalian sekiranya ada pelajar yang terpaksa menangguh atau menambah tempoh pengajian mereka sekiranya gagal tamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan. Sudah pasti akan melibatkan peningkatan kos pengajian, hutang pinjaman dan menjejaskan rekod baik pencapaian universiti.
Diskusi berakhir dengan ucapan tahniah daripada pihak UM atas kerjasama dan pandangan daripada semua agensi terlibat dalam FGD kali ini. Semua pandangan akan dinilai dalam menentukan keputusan terbaik untuk transformasi pendidikan ke arah yang lebih berdaya saing.
Di peringkat PASAK, kami sangat terbuka menjalin kolaborasi dan berdiskusi mengenai sebarang perkara berkaitan pembangunan modal insan.
Hal ini penting bagi memastikan gandingan kerjasama ini dapat memberi buah hasil yang berkualiti demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang lebih terkehadapan khususnya di negeri Perak.

Ahmad Afifi bin Mohammad Lotfi
Perhubungan Korporat
Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*