DISKUSI DAPATAN KAJIAN PENDAPATAN GARIS KEMISKINAN (PGK) 2019

Cameron Highland, Pahang
Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak telah menganjurkan bengkel Focus Group Discussion (FGD) mengenai dapatan kajian pendapatan garis kemiskinan bagi tahun 2019 Zon Utara.
Program ini dihadiri oleh pelbagai latarbelakang agensi kerajaan termasuk Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang diwakili Pengarah PASAK, Tuan Hj Misbahul Munir Masduki dan Pegawai Perhubungan Korporat Encik Ahmad Afifi.
Antara agenda perbincangan dalam bengkel ini adalah mengenalpasti punca dan sebab yang mempengaruhi taraf hidup kemiskinan penduduk di negeri Perak berdasarkan metodologi PGK 2019 yang diperkenalkan pada tahun lepas.
Seterusnya ahli mesyuarat membincangkan cadangan inisiatif dan strategi penyelesaian kepada masalah kemiskinan yang berlaku. Hasil idea perbincangan ini telah direkodkan untuk dibincangkan di peringkat UPEN.
Penilaian dan rumusan akan dibuat bagi mencadangkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan mengenai inisiatif yang wajar dilakukan bagi mengurangkan kadar kemiskinan penduduk.
Untuk makluman, had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah dinaikkan dari RM980 sejak tahun 2005 kepada RM2,208 pada tahun 2019.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, berdasarkan metodologi pengiraan ini, menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding hanya 16,653 jika menggunakan had sebelum ini.
Namun jika digunapakai metodologi pengiraan terkini bagi mengukur garis kemiskinan sebelum ini sebenarnya, kadar kemiskinan telah menurun daripada 7.6 peratus pada tahun 2016 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.
Penurunan peratusan sebanyak 2.0 peratus. Metodologi penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan ini dinilai berdasarkan dua komponen iaitu, komponen bahan makanan dan komponen bukan bahan makanan yang merujuk kepada perbelanjaan rakyat di negara Malaysia.
Berdasarkan metodologi baru yang diperkenalkan ini bersama dengan komitmen pihak kerajaan negeri berharap, inisiatif yang bakal diperkenal dan dilaksanakan nanti dapat membantu menaiktaraf hidup rakyat Malaysia khususnya di negeri Perak.
Perkara ini penting agar kesejahteraan dan kesenangan di negeri dan negara bertuah ini dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked*